Dua lelaki Nepal serang pegawai kempen PRU ditahan

Mohamad Fakhrudin
Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Dua lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki menyerang seorang pegawai Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP–KPR) di Jalan SS2/63 pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 11.15 malam itu, pegawai berkenaan sedang membuat pemeriksaan bendera parti politik di sekitar kawasan terbabit.

"Mangsa kemudian telah terdengar laungan orang awam meminta bantuan bagi mencegah berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati empat lelaki warga Nepal sedang bergaduh.

"Mangsa mengalami kecederaan selepas diserang dua lelaki, ketika dia cuba meleraikan pergaduhan itu," katanya.

Beliau berkata, sebuah alat komunikasi milik pegawai berkenaan turut mengalami kerosakan.

"Bertindak atas maklumat, kita berjaya memberkas dua suspek berusia awal 20-an itu pada jam 11.23 malam di lokasi kejadian," ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 160 / 353 / 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03 -79662222.