[VIDEO] PRU15: Dr Rosni akui PN ada kelebihan di Titiwangsa

Dr Rosni
Dr Rosni
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam tidak menganggap persaingan dua nama besar di kerusi tersebut sebagai cabaran besar tetapi sebaliknya satu kelebihan buat beliau.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu, pertembungan dua calon ‘heavyweight’ terbabit berpotensi menyebabkan pengundi mengalihkan sokongan kepada calon alternatif di kawasan berkenaan.

Dua nama besar itu merujuk kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dari BN dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad (PH) yang akan bersaing bagi merebut Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Selain Dr Rosni, turut tampil memberikan cabaran sebagai calon di Parlimen Titiwangsa adalah Pengerusi Perhubungan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA).

“Saya melihatnya sebagai satu kelebihan sebab apabila ada dua pihak bertembung, kadang-kadang orang mencari alternatif lain dan saya rasa alternatif paling dekat boleh mereka lihat adalah daripada PN.

“Sebabnya, PN adalah parti yang walaupun baharu tapi ada pengalaman memerintah. Kemudian kita juga parti yang meletakkan syarat utamanya adalah prihatin rakyat, bersih dan stabil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa melakukan Walkabout di Desa Pandan pada Selasa.

Pada PRU14 lalu, kerusi tersebut dimenangi oleh Datuk Seri Rina Mohd Harun yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 34,193 undi.

Rina yang kini beralih ke untuk bersaing di Parlimen Sepang dalam PRU15 menewaskan Johari yang pada masa itu cuba mempertahankan Parlimen berkenaan buat penggal kedua.

Artikel Berkaitan:

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa pada PRU13.

Dalam pada itu, tindakan PH memindahkan Khalid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Shah Alam selama tiga penggal dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan memperlihatkan gabungan tersebut juga begitu bersungguh-sungguh untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Untuk rekod, Pas merupakan parti yang sentiasa konsisten meletakkan calon di Parlimen Titiwangsa dalam hampir setiap PRU sejak ia mula diwujudkan pada tahun 1986.

Malah, Pas juga pernah mencipta kejutan dengan merampas kerusi Titiwangsa yang ketika itu merupakan kubu kuat BN menerusi calon wanitanya, Allahyarhamah Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali pada PRU15.

Dr Rosni berkata, keterbukaan pengundi di kawasan tersebut untuk menerima calon wanita juga merupakan satu kelebihan buat dirinya yang merupakan calon wanita tunggal di kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan doktor gigi turut yakin bahawa rekod pencapaian PN sebagai kerajaan dalam membantu dan membela rakyat ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 mampu menarik pengundi di situ untuk memberikan sokongan kepada gabungan itu pada PRU kali ini.

Pada masa sama, Dr Rosni yang juga merupakan anak jati dari Titiwangsa itu berkata, penglibatan beliau sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat merupakan kekuatan yang boleh meyakinkan pengundi.

“Jadi kerja kebajikan menyantuni rakyat dan menyelami pahit getir kehidupan di bandar memang sebati dengan saya sementelah pula saya membesar di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat beberapa isu di kawasan berkenaan yang turut mendapat perhatiannya untuk ditangani sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat antaranya isu pendidikan khususnya membabitkan pengajian agama di peringkat menengah serta masalah pemilikan tanah orang Melayu.

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020), komposisi penduduk di Titiwangsa terbahagi kepada Melayu dan Bumiputera yang mewakili 67.7 peratus, Cina (23.3 peratus), India (7.6 peratus) dan peratusan kecil untuk yang lain-lain.