PKR kesal provokasi calon BN

Muhamad Roslan (kanan) dan Setiausa MPKK Penanti, Radhuwan Hassan menunjukkan gambar insiden kekecohan yang berlaku pada petang Isnin di tapak Pasar Malam Penanti.
Muhamad Roslan (kanan) dan Setiausa MPKK Penanti, Radhuwan Hassan menunjukkan gambar insiden kekecohan yang berlaku pada petang Isnin di tapak Pasar Malam Penanti.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang kesal dengan provokasi yang dilakukan calon BN Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ketika berkempen sehingga menyebabkan kekecohan di tapak Pasar Malam Penanti, di sini kira-kira jam 6.45 petang Isnin.

Ketua Penerangannya, Amir Ghazali berkata, insiden itu berlaku selepas penganjur tapak pasar malam bertindak menghentikan ceramah calon BN itu di laluan masuk pasar malam terbabit.

Dakwanya, Mohd Zaidi bersama lebih kurang 40 jentera parti tidak mendapat permit atau sebarang kelulusan sama ada daripada polis mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berkempen di kawasan berkenaan.

Kehadiran jentera BN di kawasan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada penganjur tapak pasar malam, namun Mohd Zaidi dan pengikutnya diberi peluang dan tempoh untuk berkempen serta melakukan jelajah di pasar malam berkenaan.

"Selesai jelajah, calon BN itu naik ke atas kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di laluan masuk pasar malam hingga menyebabkan kesesakan trafik selain mengundang rasa tidak selesa pengunjung serta peniaga di situ.

"Beliau juga tidak mempedulikan masa yang diberikan sehingga penganjur cuba menghentikan ceramah itu. Disebabkan itu, Mohd Zaidi bertindak seolah-olah mahu mencabar bertinju," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Aman, Penanti di sini pada Selasa.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Penganjur Tapak Pasar Malam Penanti, Muhamad Roslan Abdul Wahab.

Amir berkata, ketika kejadian, jentera PKR Permatang Pauh juga sedang menjalankan kempen di pasar malam sama dengan membawa trak 'Ayuh Malaysia'.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan calon BN itu bukan sahaja amat memalukan malah lebih dikesalkan kerana mereka tidak menghormati undang-undang selepas gagal mendapatkan permit serta kebenaran berkempen," katanya.

Sementara itu, Muhamad Roslan berkata, pada mulanya situasi tenang walaupun berlaku pertembungan dua jentera parti di kawasan berkenaan.

"Bila masa sudah tamat, mereka minta tambah lagi (masa ceramah). Bagaimanapun, Mohd Zaidi mula bertindak agresif selepas saya bertegas memintanya menghentikan ceramah namun orang awam berjaya meleraikan kekecohan itu," katanya akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, Sinar Harian akan cuba mendapatkan penjelasan Mohd Zaidi dalam masa terdekat berhubung insiden kekecohan itu.