PRU15: Pemberian cuti manifesto PN suburkan demokrasi

Rasman (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat PN Kota Tinggi pada Selasa.
Rasman (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat PN Kota Tinggi pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Perikatan Nasional (PN) Johor menepiskan dakwaan segelintir pihak berhubung pengumuman cuti yang ditawarkan dalam manifesto gabungan itu sebagai ketandusan idea.

Sebaliknya, pengumuman cuti dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu, memperlihatkan PN mendengar suara hati pengundi dan memakmurkan demokrasi dalam kalangan rakyat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PN Johor, Rasman Ithnain berkata, pemberian cuti itu dapat menggalakkan orang ramai untuk pulang mengundi selain memberi mereka lebih masa dengan keluarga.

"Sebetulnya cuti yang dimasukkan ke dalam manifesto PN ini merupakan penghargaan kepada pengundi. Kita hendak suburkan demokrasi di tanah air kita. Lepas mengundi, pengundi kena balik tetapi ada negeri yang hari Ahad bekerja.

"Selain itu, mereka juga boleh luangkan masa dengan keluarga selepas melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 19 November nanti," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PN Kota Tinggi pada Selasa.

Pada Ahad, PN menawarkan cuti umum kepada lebih 21 juta pengundi jika koalisi itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.

Tawaran itu merupakan tambahan kepada 12 tunjang utama dalam manifesto PRU15 PN yang bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang atau dikenali PN BEST.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengisytiharan cuti umum itu akan dibuat pada Ahad bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor serta Isnin untuk negeri-negeri lain.

Artikel Berkaitan:

Berhubung manifesto PN pula, Rasman yang juga Pengerusi PN Kota Tinggi mahu calon PN pada PRU15 memahami manifesto PN supaya dapat diterangkan kepada rakyat dan pengundi.

"Alhamdulillah, yang dibentangkan ada 12 tunjang 30 pendekatan iaitu berdaya saing, meningkat taraf hidup masyarakat, membersihkan politik yang mentadbir urus yang baik (serta) mensejahterakan bumiputera dan semua kaum.

"Selain itu manifesto ini juga mengoptimumkan potensi wanita, memperkasakan orang kurang upaya serta memperkasakan peneroka Felda, mentransformasikan petani, penternak nelayan dan pekebun kecil," ujarnya.