Rozabil tidak mahu keluarkan manifesto ‘syok sendiri’

Rozabil mendengar permasalahan yang dihadapi pesawah Kampung Che Ok di Tambun Tulang pada Selasa.
Rozabil mendengar permasalahan yang dihadapi pesawah Kampung Che Ok di Tambun Tulang pada Selasa.
A
A
A

ARAU - [DIKEMAS KINI] Calon BN Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman tidak mahu terburu-buru mengeluarkan manifesto ‘syok sendiri’ dan tidak bermanfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut Rozabil yang lebih mesra dengan panggilan Tok Ben, minggu pertama kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini adalah untuk mendengar keluhan segenap lapisan masyarakat di kawasan Parlimen Arau.

“Mengenai manifesto, saya akan umumkan dalam minggu depan. Buat masa ini, saya perlu fokus mendengar masalah yang dihadapi penduduk di kawasan ini Parlimen Arau yang kebanyakan mereka adalah pesawah.

“Saya tidak mahu mengeluarkan manifesto ‘syok sendiri’ yang langsung tidak bersangkut dengan penduduk di Parlimen Arau,” katanya selepas meninjau aduan pesawah berhubung masalah pengaliran air di Kampung Ceh Ok, Tambun Tulang pada Selasa.

Semasa melakukan tinjauan di tali air Kampung Tebuk, Tok Ben berkesempatan bertegur sapa dengan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim yang juga dalam perjalanan melakukan aktiviti kempen beliau.

Dalam perkembangan sama, Rozabil berkata, keutamaannya kini adalah membantu menyelesaikan masalah yang diketengahkan secepat mungkin dan untuk pesawah, beliau akan bertemu dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Apabila saya mendengar masalah mereka seperti pesawah ini, saya kena selesaikan. Kalau masalah tak selesai, mereka akan cari saya semula. Terpilih atau tak (wakil rakyat) itu tolak tepi, isu berbeza.

“Ini soal pendapatan pesawah kerana sebagai ahli perniagaan, saya kena mencari makan dan apabila berdepan masalah ia perlu diselesaikan kerana itu sumber pendapatan saya. Begitu juga dengan petani, masalah ini melibat sumber pendapatan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Itu yang saya cuba lakukan tetapi nak selesaikan itu kadang-kadang mengambil masa kerana melibatkan pelbagai agensi, memerlukan surat sokongan untuk mendapatkan kelulusan. Tapi saya akan buat ‘follow up’ untuk selesaikan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, pesawah, Asri Md Isa, 57, dia berharap masalah air bertakung dalam petak sawah setiap kali musim menabur benih padi di Kampung Ceh Ok dapat di selesaikan segera.

“Ini bukan masalah baru, sudah lebih 10 tahun kami (pesawah) perlu berdepan dengan isu air bertakung dalam petak sawah setiap kali musim menabur benih padi.

“Kami berharap pihak MADA dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai pada musim kemarau supaya sistem pengairan dapat dibaiki sebaik mungkin dan masalah air bertakung dalam petak tidak berulang lagi,” katanya.