Rozabil bantu selesaikan masalah 100 pesawah di Arau

Rozabil (tengah) mendengar rintihan pesawah mengenai masalah pengaliran air di Kampung Bakong, Arau pada Isnin.
Rozabil (tengah) mendengar rintihan pesawah mengenai masalah pengaliran air di Kampung Bakong, Arau pada Isnin.
A
A
A

ARAU - Rintihan kira-kira 100 pesawah mengenai masalah pengaliran air yang menyebabkan air sawah bertakung mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Pesawah-pesawah di Kampung Bakong terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM196,000 selepas benih padi ditabur membabitkan kawasan seluas 201.44 hektar musnah ditenggelami air.

Seorang pesawah, Suhaimi Saleh, 44, berkata, tanaman mereka terjejas sejak projek pembinaan jalan pintasan bermula pada Mac lalu.

“Selepas projek ini bermula, tanaman padi kami sering kali terjejas jika hujan berterusan selama sejam disebabkan limpahan air Sungai Gial.

“Untuk tahun ini sahaja, sudah lima kali pesawah terpaksa menabur benih padi apabila air hujan melimpah masuk ke petak tanaman,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Rozabil meninjau permasalahan yang dihadapi pesawah di Kampung Bakong, Arau.
Rozabil meninjau permasalahan yang dihadapi pesawah di Kampung Bakong, Arau.

Sementara itu, Rozabil yang turun padang bagi meninjau permasalahan itu memberitahu, pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Pesawah dalam kawasan C1 MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) telah mengajak saya untuk melihat masalah air yang tidak keluar daripada petak (bendang). Mereka sudah empat lima kali menabur benih padi, tapi tiada hasil.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya telah berhubung dengan pihak JKR untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Punca bertakung ini adalah kerana saliran air keluar daripada petak bendang agak kecil apabila ada projek lintasan jalan sedang dilaksanakan di kawasan ini,” ujarnya.

Menurut Rozabil, pihak JKR negeri telah bersetuju membesarkan paip pembetung (culvert) di Sungai Gial ini bagi membolehkan air keluar daripada petak sawah dengan lebih lancar.

Pihak JKR bersetuju membesarkan paip pembetung di Sungai Gial.
Pihak JKR bersetuju membesarkan paip pembetung di Sungai Gial.

“JKR negeri telah bersetuju dengan permintaan pesawah-pesawah di sini untuk membesarkan ‘culvert’ supaya air keluar dengan laju dan masalah air bertakung dalam petak dapat diselesaikan.

“Kalau ikut kata Pengarah JKR negeri, masalah ini akan diselesaikan sebelum esok. Saya berterima kasih kepada pihak JKR kerana menyelesaikan masalah ini segera.

“Itulah impian saya supaya apa sahaja masalah pesawah dapat diselesaikan secepat mungkin. Itu juga moto BN Parlimen Arau,” katanya.