'Saya bukan orang luar, berkecimpung di Arau sejak 2006’ - Rozabil

Rozabil Abdul Rahman
Rozabil Abdul Rahman
A
A
A

KANGAR - Calon BN bagi kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Rozabil Abdul Rahman menjelaskan, beliau bukanlah orang luar atau calon payung terjun.

Rozabil berkata, tiada alasan untuk mana-mana pihak melabelkan dirinya sebagai calon luar kerana ini bukan pertama kali beliau terlibat dengan politik Perlis.

"Saya pernah memegang jawatan dalam Badan Perhubungan UMNO Perlis dan UMNO Bahagian Arau selama lebih 10 tahun.

“Malah saya menyertai UMNO Bahagian Arau pada tahun 2006 dan pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Naib Ketua Bahagian Arau. Cuma kebelakangan ni saja saya banyak berada di luar kerana menguruskan perniagaan saya. Saya juga sepertimana orang lain harus bekerja.

"Tapi kini selepas parti memuktamadkan keputusan untuk saya bertanding di Arau, sebagai orang parti, saya akur dan menerima tanggungjawab dan amanah ini dengan tangan dan hati yang terbuka kerana saya bukan orang luar. Saya ahli UMNO Bahagian Arau...," tegasnya.

Oleh yang demikian kata Rozabil, beliau hairan kenapa definisi orang luar itu dibangkit-bangkitkan.

"Sebab bukan semalam baru saya aktif sebagai ahli UMNO Bahagian Arau dan masa saya pegang jawatan dahulu, tidak pula timbul label sebagai orang luar. Yang pasti, Arau ini dah sebati dengan saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Rozabil menegaskan, tumpuan utamanya kini adalah untuk memastikan gerak kerja jentera-jentera pilihan raya BN di Parlimen Arau terus bergerak dan berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, bilik gerakan bukanlah milik individu. Ia adalah milik parti.

“Akan ada nanti orang yang komited dan setia yang akan muncul untuk mengambil alih operasi jentera. Saya telah hubungi mereka yang berkaitan dengan persiapan jentera pilihan raya BN untuk menyusun kempen dan gerak kerja dan sudah tentu untuk bertemu para pengundi. Pengerak jentera juga perlu jelas dengan manifesto BN untuk memenangi PRU15.

“Ini kerana mereka memainkan peranan penting semasa kempen PRU15 ini nanti. Mereka ini adalah duta-duta kecil yang akan membantu berkempen dalam usaha memenangi hati pengundi dan penduduk di kawasan Arau,” ujarnya.

Apa yang penting kata Rozabil ialah bertemu dengan seramai mungkin pengundi dan penduduk setempat untuk menerangkan manifesto BN bagi membolehkan mereka menilai apa yang bakal ditawarkan kepada mereka.

“Saya mengambil sikap tidak mahu bercakap atau berkonfrontasi dengan mana-mana calon lain kerana itu bukanlah isu utama sebaliknya apa yang paling penting dalam tempoh ini adalah berjumpa dan menerangkan manifesto BN kepada orang ramai,” katanya lagi.

Pada PRU15 ini, Rozabil yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis (PFA) dijangka perlu mendepani bekas ketuanya, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi merebut kerusi Parlimen Arau.

Selain itu, Rozabil juga berdepan saingan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dari PKR.