Peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang kekal hingga notis diterima daripada parti

KUALA LUMPUR - Peranan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dan kedudukan di Dewan Rakyat kekal setakat ini kerana Dewan Rakyat belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung kedudukan beliau susulan tindakan pemecatan oleh parti.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, hingga kini tiada notis rasmi diterima daripada Bersatu atau blok pembangkang dan sebarang keputusan hanya boleh dibuat selepas menerima pengesahan secara bertulis.
"Setakat ini kita tak terima apa-apa lagi. Jadi, maknanya status beliau tetap sama, kecuali kita terima hitam di atas putih, barulah kita akan umumkan. Apa pun, saya sedang menunggu.
"Selagi kita belum menerima apa-apa, tidak banyak yang boleh saya lakukan sekarang…kita ada baki dua hari (persidangan) minggu ini dan perkembangan lanjut mungkin diketahui minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Pas akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, yang nama Ahli Parlimen berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebelum ini dipecat oleh Bersatu berikutan konflik dalaman parti. - Bernama
Ringkasan AI
- Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat selagi tidak ada pemberitahuan rasmi tentang pemecatannya
- Dewan Rakyat belum menerima sebarang notis rasmi dari Bersatu atau blok pembangkang
- Keputusan mengenai kedudukan Hamzah akan dibuat setelah pengesahan bertulis diterima
- Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menyatakan sedang menunggu pemberitahuan rasmi
- Pas akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat menggantikan Hamzah, nama pengganti akan dimaklumkan kemudian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
