Scammer: Cegah sebelum lesap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERUJUK kepada laporan Sinar Harian bertarikh 31 Mac 2019, bertajuk, Love Scam: Warga emas rugi RM38,500, saya berasa terpanggil untuk menulis sesuatu tentang langkah bagi mengelakkan diri daripada ditipu scammer.

Saban hari kita ada dengar berlakunya jenayah-jenayah siber yang melibatkan kemudahan komputer atau dengan lebih tepat lagi, menggunakan internet atau rangkaian di ruang siber.

Kes-kes penipuan atau jenayah siber yang berlaku di Malaysia melibatkan puluhan ribu ringgit atau ratusan ribu ringgit malah ada yang mencecah hingga jutaan ringgit.

Sejajar dengan itu, ada pihak yang turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia adalah lubuk wang bagi scammer tempatan atau luar negara.

Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga 3 Oktober 2018, sebanyak 8,313 kes jenayah siber direkodkan melibatkan kerugian $299 juta.

Ini berbanding statistik 2017 iaitu sebanyak 10,203 kes melibatkan kerugian kira-kira RM184 juta. Dalam hal ini, kita sendiri sebenarnya boleh mengelak diri daripada ditipu oleh scammer.

Berfikir sejenak

Ada kalanya anda akan menerima panggilan telefon daripada pegawai polis, pegawai kerajaan atau ahli keluarga sendiri yang menyamar sebagai scammer atau penipu.

Artikel Berkaitan:

Satu situasi di mana anda menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis kononnya memberitahu anda tentang saman yang tertunggak dan meminta anda untuk memasukkan duit ke akaun persendiriannya sekiranya mahu saman itu lunas.

Situasi berkenaan meminta anda untuk berfikir sejenak, “adakah sebelum ini aku pernah disaman?”. Sekiranya, jawapan anda adalah tidak, maka segera tamatkan perbualan tersebut dan terus membuat laporan polis di balai polis berhampiran anda.

Sudah terang lagi bersuluh, ini adalah salah satu taktik penyamaran yang biasa dilakukan oleh scammer yang menyamar sebagai orang yang anda percaya. Mereka bukan sahaja menyamar bahkan mengugut anda supaya menyerahkan wang atau apa sahaja sekiranya mahu selamat.

Periksa terlebih dahulu

Salah satu taktik berkesan yang dilakukan oleh scammer ini adalah dengan menggesa sasaran mereka agar segera melakukan pemindahan wang atau maklumat peribadi.

Alasan mereka adalah, sekiranya proses pemindahan tersebut lambat dibuat, maka mereka tidak dapat menolong anda.

Dalam kesempatan ini, periksa terlebih dahulu panggilan, mesej atau emel yang diterima dengan membuat carian di internet atau merujuk pakar dan jangan membuat keputusan dengan tergesa-gesa.

Di samping itu juga, berbincanglah dengan seseorang yang anda percayai sama ada ahli keluarga atau kawan karib sebelum membuat sesuatu keputusan.

Scammer ini mahu anda untuk membuat keputusan segera atau mungkin juga mampu mengancam anda. Lapangkan waktu anda walau seketika untuk periksa mahupun berbincang dengan ahli terdekat sebelum berputih mata.

Konklusinya, diri sendiri memainkan peranan penting untuk mengelak daripada kejadian yang sama berulang dan terus berulang. Ini membuka ruang kepada penipu-penipu yang mencari mangsa dek kecuaian diri sendiri.

Maka, diingatkan bahawa segala tingkah laku kita di atas muka bumi ini sedang diperhatikan oleh ALLAH. Setiap perbuatan yang dilakukan di dunia akan dipersoal kelak di akhirat sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Al-Zalzalah yang berbunyi:

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sekecil apa pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Barang siapa yang mengerjakan kejahatan sekecil apa pun, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.”

* Muhammad Ikram Zaidi merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)