Tuduhan LGBT gugat keharmonian masyarakat

Ashraf (kiri) menunjukkan laporan polis polis yang dibuat terhadap Razman di hadapan IPD Ipoh di sini pada Selasa.
Ashraf (kiri) menunjukkan laporan polis polis yang dibuat terhadap Razman di hadapan IPD Ipoh di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menyifatkan tuduhan dilemparkan mengaitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Timbalan Ketuanya, Ashraf Kahasani berkata, tuduhan dilemparkan oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semangol itu memang langsung tidak berasas termasuk mengaitkan DAP dengan komunis.

Jelas beliau, disebabkan itu AMK Perak tampil membuat laporan polis setelah video ucapan tersebut tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

"Isu ini bukanlah baharu, laporan ini dibuat untuk meminta pihak polis menyiasat untuk diambil tindakan terhadap Razman kerana secara terang-terangan membuat satu tuduhan yang jelik, mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia ini.

"Di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ini, kita lihat mereka memang menggunakan strategi ini untuk mendapatkan undi dari kaum Melayu dan menghasut orang Melayu luar bandar menyokong mereka dengan meletakkan Pakatan Harapan sebagai sasaran utama," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh di sini pada Selasa.

Ashraf berkata, kempen-kempen calon sepatutnya tertumpu soal permasalahan rakyat seperti mana yang dilakukan Anwar dalam ceramah-ceramah sepanjang tempoh kempen.

Beliau turut menasihati pengundi agar menilai cara kempen yang dilakukan oleh calon-calon sebelum memilih mereka pada hari mengundi nanti.

Polis Perak pada Selasa dalam satu kenyataan memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung ucapan Razman menerusi rakaman video yang tular sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan, siasatan dibuat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.