Noraishah rayu beri kepercayaan

Noraishah
Noraishah
A
A
A

PUTRAJAYA - Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz merayu 42,881 rakyat di wilayah berkenaan agar memilihnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Janjinya, segala tenaga beliau akan digunakan untuk berjuang demi kepentingan rakyat.

"Inilah masanya Putrajaya (rakyat) meletakkan kepercayaan dan hantar saya ke Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa di Taman Warisan Pertanian, dekat sini pada Isnin.

Menurutnya, beliau menggariskan lima perkara yang dikemukakan dalam manifesto untuk Putrajaya.

"Salah satu keutamaan adalah penjawat awam tidak akan dipecat dan dibuang kerja sewenang-wenangnya tidak kira mana-mana kerajaan naik selepas ini," katanya.

Sejak nombor telefonnya didedahkan kepada orang ramai, beliau mendapat pelbagai maklum balas daripada penduduk setempat.

"Antara isu yang banyak diterima adalah berkenaan penyelenggaraan bangunan dan kuarters," katanya.

Ditanya mengenai sambutan kempen yang dijalankan pasukannya, Noraishah berkata beliau yakin akan diterima oleh penduduk Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

"Saya satu-satunya yang bekerja memberi nombor telefon kepada orang ramai.

"Selepas Isyak saya balas segala aduan rakyat sehingga jam 1 atau 2 pagi," katanya.

Noraishah, 47, yang juga bekas pensyarah kanan berentap dengan lima pencabar iaitu dari BN, Perikatan Nasional (PN), GTA-Pejuang serta dua calon Bebas bagi merebut kerusi Parlimen Putrajaya .

BN diwakili Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN), dan Datuk Mohd Rosli Ramli (GTA-Pejuang).

Dua calon bebas adalah Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.