PRN: PN beri bayangan tampil calon nama besar di Selangor

Hamzah semasa berucap pada Majlis Dialog PN Parlimen Sungai Besar di Markas Pas Simpang 5 Sungai Besar di sini pada Khamis malam.
Hamzah semasa berucap pada Majlis Dialog PN Parlimen Sungai Besar di Markas Pas Simpang 5 Sungai Besar di sini pada Khamis malam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan untuk meletakkan lebih ramai calon dalam kalangan nama-nama besar yang dilihat berpotensi memberi kemenangan kepada komponen itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, senarai nama calon itu akan diumumkan PN dalam waktu terdekat.

"Insya-ALLAH kali ini nama-nama besar ini akan kita umumkan (sebagai calon) di Selangor ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Dialog PN Parlimen Sungai Besar di Markas Pas Simpang 5, Sungai Besar di sini pada Khamis malam.

Ditanya adakah PN menampilkan calon 'poster boy' sebagai Menteri Besar di Selangor, Hamzah berkata, perkara itu akan diumumkan selepas semua nama calon dimuktamadkan.

Dalam pada itu, katanya, PN merancang mengadakan majlis besar-besaran dengan mengundang bekas pemimpin UMNO di semua peringkat atas nama penyatuan umat Melayu.

Hamzah berkata, bekas pemimpin UMNO itu terdiri dalam kalangan tokoh terkenal.

"Saya telah pun berjumpa dengan (bekas) tokoh UMNO seperti Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa lagi tokoh pemimpin UMNO dahulu.

"Kita (merancang) mengadakan satu majlis besar-besaran bersama dengan bekas Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta pemimpin UMNO di semua peringkat," katanya.

Hamzah memaklumkan, pihaknya sedang menyusun tarikh dan tempat sesuai dalam waktu terdekat untuk majlis berkenaan.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi PN pada PRN Selangor, Hamzah memberitahu, agihan kerusi hampir dimuktamadkan.

"Tinggal satu atau dua kerusi (PRN Selangor) yang kita rasa hendak cari siapa calon lebih layak untuk kita tentukan (bertanding di) kerusi terbabit," jelas beliau.