Isi diesel 10 kali sehari, dua pemandu lori dicekup

Tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel berkenaan. Foto KPDNHEP Selangor
Tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel berkenaan. Foto KPDNHEP Selangor
A
A
A

GOMBAK - Kegiatan dua pemandu lori mengepam diesel bersubsidi sehingga 10 kali sehari di sebuah stesen minyak di Rawang terbongkar selepas digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor 1 November lalu.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan sekitar jam 9 malam itu dijalankan susulan aduan awam berkenaan pergerakan lori terbabit berulang kali mengisi minyak di stesen minyak berkenaan.

"Tindakan serbuan hendap oleh pasukan operasi dilakukan semasa aktiviti pengisian minyak diesel sedang dilakukan oleh pemandu lori terbabit di sebuah stesen minyak di Rawang.

"Modus operandi aktiviti ini adalah membuat pengisian di stesen minyak secara berulang antara enam hingga 10 kali sehari untuk dihantar ke stor berhampiran yang disyaki stor haram," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Zuhairy berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat aktiviti jual beli secara tidak sah antara stesen minyak terbabit dengan stor berkenaan.

"Pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan lanjut terhadap stesen minyak berhubung pembelian minyak diesel yang mencurigakan.

"Arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) telah dikeluarkan kepada stesen minyak berkenaan," katanya.

Katanya, pasukan serbuan telah menyita dua buah lori mengandungi 830.3 liter minyak diesel bersubsidi dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM300,000.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua pemandu lori ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan. Pengurus stesen minyak juga telah diambil keterangan.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap pemilik stesen minyak kerana melanggar kerana menjual diesel kepada kenderaan melebihi 250 liter seperti yang ditetapkan oleh pengawal bekalan,"ujar beliau.