Zuraida yakin rekod khidmat 15 tahun beri kelebihan

Zuraida (tengah) ketika melawat pengundinya di sini.
Zuraida (tengah) ketika melawat pengundinya di sini.
A
A
A

AMPANG - Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin yakin dengan prestasi perkhidmatan kepada pengundi di kawasan tersebut bakal memberikan kelebihan kepadanya berbanding calon lain.

Beliau yang dikenali sebagai 'Ibu Bangsa Malaysia' turut percaya pengorbanan serta dedikasinya selama 15 tahun di kawasan tersebut akan memihak kepadanya pada 19 November nanti.

Bagaimanapun, Zuraida turut mengakui kehadiran tujuh calon lain yang bertanding merebut kerusi Parlimen itu memberikan saingan mencabar.

Saya tahu ini adalah pertarungan yang sukar. Malah, ia pertarungan paling mencabar buat saya.

"Pertama, saya akan berdepan dengan lapan pencabar lain, termasuk tiga calon bebas.

"Kedua, saya bertanding di bawah parti baharu, parti yang baru ditubuhkan," katanya ketika melawat pengundi.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pengundi hari ini lebih matang dan berpengetahuan luas tentang isu-isu semasa berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

Oleh itu, beliau memaklumkan tidak akan mengambil mudah perkara tersebut dan mengambil masa untuk meninjau serta mengenal pasti semua isu yang memberi kesan kepada penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk isu-isu tempatan seperti pengangkutan awam, infrastruktur, banjir dan kebajikan.

"Selain itu saya juga akan menumpukan usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Ampang yang merangkumi aspek pekerjaan, peluang perniagaan, pendidikan dan juga pembangunan kemahiran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, hampir 5,000 sukarelawan di lapangan sedang giat mendekati seramai mungkin pengundi.

Beliau turut gembira berdepan lima calon wanita dan muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Walaupun mereka mungkin pencabar saya, saya gembira kerana lebih ramai wanita tampil ke hadapan di PRU ini.

"Saya hanya berharap dan berdoa agar semua calon, bukan sahaja di Ampang, bersaing secara mesra, bersih dan adil.

Pada Sabtu, Parlimen Ampang antara yang disebut sebagai 'kerusi panas' di Selangor apabila menyaksikan lima wanita antara sembilan calon bakal berentap pada PRU15.

Kali ini, Zuraida turut berdepan Rodziah Ismail (PH); Ivone Low Yi Wen (BN) dan Dr Nurul Ashikin Mabahwi (GTA).

Enam lagi pencabar ialah Sasha Lyna Abdul Latif mewakili (PN); Bryan Lai Wai Chong (Warisan); Raveendra Marnokaran; Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos dan Tan Hua Meng masing-masing bertanding kerusi Bebas.