MPKS perlu tambah baik prasarana Pantai Remis: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (kiri) bertemu penjaja di Pantai Remis pada Isnin.
Tengku Zafrul (kiri) bertemu penjaja di Pantai Remis pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) perlu memperhebat usaha penambahbaikan beberapa kemudahan asas di Pantai Remis di sini yang menjadi tempat tumpuan pengunjung.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kawasan tarikan pelancong itu perlu diberikan nafas baharu dengan menaik taraf kemudahan asas seperti lampu jalan, air bersih, tandas dan ruang niaga berbumbung.

Menurut beliau, semua prasarana itu dilihat masih belum lengkap sedangkan kawasan pantai itu menerima limpahan pengunjung luar biasa terutama pada waktu cuti.

"Saya difahamkan secara purata jumlah pelawat yang datang ke Pantai Remis pada hujung minggu mencecah sehingga 3,000 orang," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke gerai penjaja dan bertemu pengunjung di Pantai Remis di sini pada Isnin.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, pantai yang terkenal dengan pemandangan cantik dan keindahan alam semula jadi itu memerlukan penambahbaikan segera.

"Apabila saya berjumpa penjaja, mereka mengeluh kerana hanya terdapat satu lampu sorot yang menerangi kawasan pada waktu malam.

"Penjaja memberitahu mereka mahu kawasan ini hidup tengah malam kerana ada pelawat yang datang ke Pantai Remis hingga jam 2 pagi," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kawasan itu diterangi sinaran lampu ia juga dapat mengurangkan risiko kes kecurian di kawasan penjaja.

Artikel Berkaitan:

"Antara permasalahan lain diutarakan penjaja seperti isu kesukaran mendapatkan bekalan air dan kekurangan tandas," ujarnya.

Selain itu, katanya, penjaja juga mencadangkan kepada MPKS agar mewujudkan kawasan ruang niaga berbumbung yang lebih selesa.

"Penjaja berpendapat pembinaan gerai berbumbung memudahkan penjaja berniaga kerana ia lebih tersusun, bersih dan teratur selain dapat menarik lebih ramai penjaja lain untuk berniaga di sini.

"Kita berharap MPKS dapat mempertimbangkan cadangan diutarakan penjaja di sini demi kebaikan Pantai Remis yang mempunyai daya tarikan tersendiri," katanya.

Ditanya mengenai manifesto BN Kuala Selangor, Tengku Zafrul memberitahu, sebanyak 50 cadangan inisiatif ditawarkan kepada penduduk sekiranya beliau menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, inisiatif dalam bentuk risalah itu akan dimuat naik di media sosial dalam waktu terdekat.

Jelas beliau, fokus utama manifesto itu merangkumi semua kelompok golongan terutama B40 dan M40 penduduk di Parlimen berkenaan.

"Berdasarkan berpuluh sesi turun padang, saya telah dengar, hayati dan berusaha untuk selesaikan lebih 50 isu tempatan," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, terdapat empat teras utama dalam inisiatif bagi membantu rakyat di Parlimen Kuala Selangor.

"Empat teras itu ialah infrastruktur dan pengangkutan awam; kebajikan, kemasyarakatan dan peningkatan mutu kehidupan; pekerjaan dan perniagaan serta pendidikan dan peningkatan kemahiran," ujarnya.