Peniaga menangis terlepas hukuman mati

Muhammad Yusuk (tengah) bersama ahli keluarganya selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah pada Ahad.
Muhammad Yusuk (tengah) bersama ahli keluarganya selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga menangis sebaik terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar 94.6 gram dadah jenis methamphetamine di Mahkamah Tinggi di sini, pada Ahad.

Keputusan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas terhadap tertuduh, Muhammad Yusuk Mohd Nor, 34, pada keputusan di akhir kes pendakwaan.

Mohamad Abazafree dalam penghakiman itu memutuskan pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie.

“Terdapat persoalan bahawa ada orang lain selain tertuduh yang tinggal di dalam rumah tersebut dan mempunyai kunci untuk akses rumah itu.

“Wujud juga kelompangan dalam kes pendakwaan berkaitan isu pemilikan sebuah kereta dan sebuah motosikal di rumah yang tidak disiasat, maka mahkamah melepas dan membebas tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar 94.6 gram dadah methamphetamine di Taman Sri Mesa, Mukim Gual Periok, Pasir Mas pada jam 5.30 petang, 2 April 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada tuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) kerana memiliki 40.9 gram dadah jenis sama pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Shaharuddin Mohamed.