Pemuda maut dipukul kerana cemburu

Gambar kecil: Abdullah Mohamad Piah
Gambar kecil: Abdullah Mohamad Piah
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pemuda maut dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah stor lori berhampiran Kampung Bagus, Rantau Panjang dekat sini pada 8 April lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu mangsa yang maut berasal dari Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada motif cemburu.

"Mangsa dipercayai mempunyai hubungan seorang perempuan yang sudah berkahwin berasal dari Kampung Lubok Stol," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia pada jam 5.30 petang pada 9 April lalu ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, terdahulu, pada hari kejadian, mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan sebelum dirujuk ke HUSM.

"Jadi kita minta suami kepada isteri (perempuan tersebut) supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan di kepala," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdullah berkata, setakat ini pihak polis masih belum menemui sebarang objek yang digunakan dalam kes tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.