'Mungkin sebab saya diumum calon BN'

Mohd Kazim dan laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Kazim dan laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias tidak menolak kemungkinan pengumuman awal sebagai calon BN mungkin menjadi punca larangan berceramah di Pulau Pinang.

Bagaimanapun beliau mengakui tidak memiliki tauliah mengajar dan menyampaikan ceramah oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Menurutnya, selama ini tidak pernah ditimbulkan isu tersebut sejak menyampaikan ceramah di negeri itu sejak tahun 1995.

"Saya menghormati peraturan larangan oleh MAINPP itu, tak ada sebab saya membantah peraturan ini. Saya harap masjid surau mematuhi peraturan dibuat ini.

"Dah lama mengajar di sana sebelum saya dapat anak lagi tahun 1995, 1996 sampailah sekarang. Jadi saya minta maaf kepada seluruh masyarakat Pulau Pinang dan Jabatan Agama sebab tindakan kurang sopan kerana saya tidak ada tauliah selama hampir 27 tahun berceramah tanpa tauliah," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Kompleks Darul Barakah, Manjoi pada Ahad.

Beliau berkata, ketika ini dia hanya ada tauliah mengajar di Perak dan Wilayah Persekutuan sahaja serta tidak berhasrat untuk memohon tauliah bagi semua negeri atas faktor usia.

Bagaimanapun, Mohd Kazim berkata, platform lain akan digunakan untuk ke negeri-negeri yang tidak membenarkannya mengadakan ceramah atau kuliah.

"Saya pun telah menubuhkan kumpulan nasyid dan kumpulan muzik saya sendiri. Jadi negeri-negeri yang melarang saya ini bolehlah jemput saya buat konsert sebab buat konsert tak perlu tauliah.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun dah terlibat secara aktif dalam filem, mungkin saya akan menceburi bidang filem, filem saya akan keluar tak lama lagi. Berlakon filem pun tak perlu tauliah, jadi saya akan tumpu pada filem dan drama," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pendakwah yang dilarang menyampai ceramah di Pulau Pinang, Datuk Ahmad Husam Baderudin berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada MAINPP bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Katanya, seramai 10 daripada 16 individu yang disenaraikan itu sedia untuk bertemu dengan pihak MAINPP dan menunggu tarikh ditetapkan.

"Kita menghormati keputusan itu dan berharap pertemuan nanti akan berlangsung secara mahabbah mendapatkan penjelasan demi kebaikan bersama.

"Rasa agak rugi bila penceramah ini tidak diberi kebenaran berceramah. Jika ada kesilapan, pihak kami mohon ditegur," katanya.

Pada 4 November lalu, MAINPP menamakan 16 individu yang dilarang untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.

Selain Mohd Kazim dan Husam, penceramah lain yang dilarang termasuklah Shaharudin Ibrahim, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr Abdullah Yassin.