PN utamakan calon berintegriti pada PRU15

A
A
A

PN meletakkan calon berintegriti pada PRU15 untuk mengangkat agenda utama memperkasakan rakyat.
PN meletakkan calon berintegriti pada PRU15 untuk mengangkat agenda utama memperkasakan rakyat.



Perikatan Nasional (PN) hadir dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan reputasi calon yang mempunyai rekod bersih dan berintegriti sekali gus memastikan kerajaan stabil dapat dibentuk pada masa depan.

Langkah meletakkan calon berintegriti juga menunjukkan kesungguhan PN dalam usaha memastikan tiada salah laku yang akan berlaku sekali gus mampu untuk mengangkat agenda utama memperkasakan rakyat sekiranya diberikan mandat menjadi kerajaan nanti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, fokus utama kerajaan PN ialah menguruskan masalah kehidupan rakyat dan bukannya memikirkan cara membebaskan diri daripada kes-kes mahkamah.

Menurutnya, isu ekonomi yang semakin menekan rakyat menjadi agenda utama PN apabila masalah seperti pendapatan merosot, hilang pekerjaan, isu kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit masih membelenggu dan perlu diatasi sebaiknya.

Jelasnya, negara juga perlu bersedia berhadapan jangkaan ekonomi lebih kritikal yang bakal dihadapi dunia tahun depan yang menuntut kerajaan prihatin, bersih dan stabil seperti mana ditekankan oleh PN dalam slogan PRU15.

Demi rakyat

NAJWAH
NAJWAH



Calon Parlimen Tanjung Piai, Najwah Halimah Ab Alim menyifatkan langkah Muhyiddin mengetengahkan ramai muka baharu untuk menghadapi PRU15 sebagai satu cara menarik pengundi mengundi PN.

Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, Muhyiddin juga memastikan hanya calon berintegriti serta hanya orang yang mampu bekerja demi rakyat dipilih sebagai wakil PN.

"Tan Sri Muhyiddin semestinya mahu calon yang berintegriti, layak dari segi pendidikan dan sebagainya. Kali ini juga Tan Sri Muhyiddin mengetengahkan ramai muka baharu dan menjanjikan orang-orang yang betul-betul boleh bekerja. Orang kata 'fresh' dari segi politik," katanya.

P THINAGANARABHAN
P THINAGANARABHAN



Sementara itu, calon Parlimen Bukit Gelugor, P Thinaganarabhan menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang tegas dan tidak akan berkompromi terutama soal integriti.

Ujarnya, Muhyiddin juga memainkan peranan membuat beberapa keputusan penting ketika menjadi Perdana Menteri dan berhadapan keadaan luar biasa apabila negara dilanda Covid-19.

"Beliau seorang yang tegas dan tidak akan berkompromi soal integriti. Beliau seorang yang bebas daripada rasuah dan beliau telah membuat satu keajaiban semasa pandemik," katanya.

WAN SAIFULRUDIN
WAN SAIFULRUDIN



Dalam pada itu, calon Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulrudin Wan Jan berkata, PN akan menawarkan kerajaan yang bersih dan stabil untuk rakyat negara ini.

Menurutnya, kemampuan PN menawarkan kerajaan yang stabil adalah sangat jelas berbanding gabungan parti lain ketika ini.

"Saya yakin yang kita tawarkan kerajaan yang bersih dan kerajaan yang stabil. Saya nak komen sedikit mengenai isu stabil ini, kalau dilihat gabungan parti politik yang ada sekarang ini, yang stabil hanyalah kami di PN," katanya.

V PRABAGARAN
V PRABAGARAN



Bagi calon Parlimen Segambut, V Prabagaran, beliau melihat kerajaan yang bebas rasuah seperti dijanjikan oleh PN akan memastikan negara mampu memberikan tumpuan kepada rakyat secara menyeluruh.

"Kita tidak mahu kerajaan yang sangat korup. Jadi, kita nak mempertingkatkan kualiti hidup rakyat khususnya golongan B40. Saya akan sentiasa membela nasib rakyat segambut," katanya.

OH TONG KEONG
OH TONG KEONG



Nada sama turut disuarakan oleh calon Parlimen Bayan Baru, Oh Tong Keong. Katanya, semua calon PN sudah membuat aku janji menolak rasuah sekali gus memastikan negara yang bersih dan tanpa penyelewengan.

"Kita sudah buat aku janji, kita akan tolak rasuah kerana kita adalah kerajaan yang bersih pada masa akan datang," katanya.

AHMAD FAIZAL AZAMU
AHMAD FAIZAL AZAMU



Calon Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula menjelaskan PN menitikberatkan semangat sebagai satu pasukan dalam mengharungi perang PRU kali ini.

"Tentunya dalam pemilihan calon ini ada tak setuju dan ada yang amat bersetuju tetapi kalau kita nak persetujuan 100 peratus, tidak mungkin dan tiada parti dapat melakukan perkara tersebut.

"Namun, sekali lagi kita menitikberatkan agar bertanding sebagai satu pasukan PN, bukannya individu itu yang bertanding," kata Ahmad Faizal.