Saya masih poster boy, calon PM BN: Ismail Sabri

Ismail Sabri bersama isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin berarak ke pusat penamaan calon bagi PRU15 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri bersama isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin berarak ke pusat penamaan calon bagi PRU15 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - [DIKEMAS KINI] "Saya masih lagi poster boy dan calon Perdana Menteri BN selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15)," kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pemilihan beliau sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu telah diputuskan secara jelas pada Persidangan Agung UMNO 2021 serta keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada April lepas.

"Setakat ini tidak ada keputusan daripada MT UMNO yang mengatakan sebaliknya (tukar calon Perdana Menteri) dan baru-baru ini lebih 156 daripada 190 Bahagian UMNO membuat usul mencadangkan saya sebagai calon Perdana Menteri.

"Perkara (keputusan sebagai calon Perdana Menteri) itu tidak ‘reversed’ dan tak ada mesyuarat (dalam parti) yang memutuskan sebaliknya (tukar calon Perdana Menteri), maka apa yang diputuskan sebelum ini kekal,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas hadir di pusat penamaan calon bagi Parlimen Bera di Pusat Penamaan Calon Parlimen Bera di Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Naib Presiden UMNO itu turut menafikan wujud surat akuan bersumpah bagi memilih calon Perdana Menteri selain beliau selepas pilihan raya, yang didakwa perlu ditandatangani setiap calon daripada UMNO, seperti yang tular di media sosial beberapa hari lepas.

Sebaliknya Ismail Sabri berkata, surat yang ditandatangi calon yang terpilih untuk mewakili parti pada pilihan raya kali ini adalah untuk memastikan tiada yang bertindak melompat parti selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

"Kalau dulu, surat itu adalah seperti surat peletakan jawatan kita sebagai Ahli Dewan Rakyat atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kalau kita melompat parti lain. Itu dulu, tapi sekarang sejak ada akta anti lompat parti, kita punya SD (surat akuan bersumpah) adalah berdasarkan akta itu," katanya.

Ditanya mengenai spekulasi wujud kerjasama atau pakatan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, Ismail Sabri secara ringkas berkata:

"Saya tak pasti... kita tak dengarlah perkara itu... spekulasi (timbul) macam-macam" katanya.