Dua bekas penyandang antara lima calon Parlimen Pandan

Dari kiri: Nadia, Tee Keat, Kok Wee, Muhammad Farique dan Rafizi.
Dari kiri: Nadia, Tee Keat, Kok Wee, Muhammad Farique dan Rafizi.
A
A
A

AMPANG - [ KEMAS KINI] Kerusi Parlimen Pandan akan menyaksikan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bersaing di kawasan itu ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, manakala calon daripada Parti Warisan (Warisan) pula ialah Tan Sri Ong Tee Keat yang juga bekas Presiden MCA.

Tiga lagi calon ialah Ketua MCA Pandan, Datuk Leong Kok Wee mewakili BN; Ketua Pemuda Pas Pandan, Muhammad Farique Zubir Albakri (PN) dan Nadia Hanafiah (GTA).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pandan, Julaihah Jamaluddin ketika sidang media Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, selepas tamat proses penyerahan borang pencalonan pada jam 10 pagi, Sabtu.

Untuk rekod, dua daripada lima calon bersaing di kerusi Parlimen Pandan itu merupakan bekas penyandang ahli Parlimen di kawasan berkenaan.

Rafizi pernah menjawat jawatan tersebut selepas PRU13 selama sepenggal manakala Tee Keat yang merupakan bekas Menteri Pengangkutan pula selama dua penggal iaitu pada PRU11 dan PRU12.

Pada PRU14 lalu, kerusi tersebut disandang oleh bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya memenangi kawasan tersebut dalam persaingan lima penjuru dengan majoriti 52,543 undi.

SPR memaklumkan daftar pemilih bagi Parlimen Pandan menunjukkan peningkatan agak tinggi terutamanya membabitkan golongan anak muda pada PRU15 kali ini iaitu daripada 101,319 kepada 148,120.



Pada masa sama, data Jabatan Perangkaan pada 2020 memperlihatkan komposisi penduduk di situ terdiri daripada bumiputera (51.6 peratus), Cina (40.2 peratus), India (7.4 peratus).

Dalam pada itu, Rafizi, 45, berkata, walaupun Pandan merupakan kawasan yang dekat dengan PH, pihaknya tidak boleh terlalu yakin dan perlu terus mendengar isu disuarakan oleh pengundi di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:


“Banyak perkara yang berlaku selepas 10 dan empat tahun lepas. Pandan adalah kawasan kelas pekerja, walaupun di bandar, ia adalah kawasan orang miskin. Cina pun miskin yang Melayu pun miskin, jadi kita faham keadaan itu cukup tertekan,” ujarnya.

Tee Keat, 65 yang juga calon tertua di kerusi tersebut berkata, beliau bukanlah individu yang asing di Parlimen tersebut kerana telah berkhidmat di kawasan berkenaan sejak tahun 1989, iaitu ketika ia masih berada di bawah Parlimen Ampang Jaya.

“Banyak program dan aktiviti sosial atau khidmat yang saya jalankan dan ia tidak pernah berhenti meskipun selepas saya berhenti sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya yang menyatakan akan memberikan perhatian antaranya terhadap isu kebajikan perumahan dan peluang pekerjaan terhadap anak muda.

Sementara itu, Kok Wee, 54, berkata, beliau berpandangan semua calon memiliki peluang untuk memenangi kerusi berkenaan meskipun terdapat beberapa tokoh besar dalam politik negara yang turut bertanding bagi merebut kawasn berkenaan.

“Kita cuba yang terbaik. Selain itu, saya akan fokus saya kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan kerana kawasan ini memang berpotensi memandangkan ia berada dekat dengan bandar raya dan turut berada di bawah negeri Selangor yang majum,” katanya.

Calon termuda di Parlimen Pandan yang juga merupakan anak jati kawasan tersebut, Muhammad Farique, 35, pula berkata, meskipun beliau datang daripada parti berasaskan Islam, beliau yakin masyarakat di situ tidak memilih calon berdasarkan perkauman.

“Mereka ini lebih memilih kepada kerajaan yang ada pegangan kukuh dan dan tegas iaitu menolak rasauah dan berupaya mewujudkan kerajaan yang stabil dan berintegriti,” katanya yang merupakan Ketua Pemuda Pas Pandan dan berkerjaya sebagai akauntan.

Bagi calon daripada GTA, Nadia, 53, beliau mengambil keputusan untuk bertanding dalam PRU15 kali ini kerana mahu membantu negara menghapuskan isu rasuah yang menjejaskan negara.

“Jadi saya nak satukan Melayu dan bukan Melayu di kawasan ini untuk bersama-sama berjuang menentang rasuah,” jelas beliau yang berpengalaman bekerja dan terlibat bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di dalam negara.