PRU15: PBM tanding tujuh kerusi Parlimen, dua DUN

(kiri) Santhara, Larry dan Zuraida
(kiri) Santhara, Larry dan Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan akan meletakkan calon di tujuh kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jabatan Penerangan dan Komunikasi PBM dalam satu kenyataan berkata, Datuk Zuraida Kamaruddin akan mempertahankan kerusi yang ditandinginya sebelum ini iaitu Ampang.

“Begitu juga Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Datuk Larry Sng Wei Shien yang masing-masing kekal bertanding di kerusi Segamat dan Julau,” katanya pada Jumaat.

Tambah PBM, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha akan bertanding di Hulu Selangor manakala ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi pula bertanding di Kapar.

Baki dua lagi calon iaitu Dayang Rusimah akan bertanding di Labuan dan Alus Kassim (Sekijang).

Sementara itu, calon Bryan Yong Wu Sean akan bertanding di DUN Tronoh manakala Nazmahwati Walli (Bugaya).

Sebelum ini dilaporkan isu pentadbiran PBM membabitkan Zuraida dan Larry berjaya diselesaikan selepas kedua-duanya berkunjung ke pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di Putrajaya.

Turut dilaporkan pimpinan tertinggi parti itu berjaya memurnikan hal berbangkit dan akan menumpukan usaha bagi berdepan PRU15.

Artikel Berkaitan: