Tiga calon Parlimen Sungai Besar tumpu sektor pelancongan, IKS

Gambar dari kiri: Muslimin, Jamal, Saipolyazan
Gambar dari kiri: Muslimin, Jamal, Saipolyazan
A
A
A

SUNGAI BESAR - Tiga calon kerusi Parlimen Sungai Besar memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana (IKS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar dari Bersatu, Muslimin Yahaya berkata, industri inap desa dan IKS menjadi salah satu produk ekonomi yang semakin mendapat tumpuan pengunjung setiap kali ke Parlimen Sungai Besar.

Ujar beliau, pada masa ini, kawasan itu menawarkan produk pelancongan tersendiri terutama dengan kewujudan banyak inap desa yang menawarkan pakej pelancongan menarik kepada pengunjung.

"Sungai Besar ketika ini menjadi tumpuan orang ramai untuk bercuti mencari kedamaian, kita dapat lihat industri inap desa semakin berkembang dan saya yakin IKS juga mendapat limpahan dengan kehadiran pengunjung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muslimin yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberitahu, beliau juga bertemu ramai usahawan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang turut berkecimpung dalam perniagaan inap desa dan IKS.

"Aktiviti perniagaan IKS ini memerlukan perubahan dan kita cari kaedah bagaimana mereka ini boleh berkolaboratif supaya lebih berdaya saing terutama membabitkan pasaran, pembungkusan, penjenamaan, penyampaian dan khidmat pelanggan," ujarnya.

Calon BN, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, sekiranya terpilih, beliau berusaha untuk menjadikan Parlimen Sungai Besar sebagai hub pelancongan terkenal di negara ini.

Jamal menjelaskan, Parlimen itu perlu mempunyai mercu tanda dan identiti tersendiri untuk menarik kehadiran pelancong.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, beliau juga berhasrat untuk mewujudkan pusat pengumpulan produk IKS bagi memudahkan penduduk kampung memasarkan hasil jualan.

"Insya-ALLAH dengan pengalaman saya sebagai usahawan bermula pada usia 18 tahun lagi, saya sedaya upaya untuk menjadikan Sungai Besar sebagai tempat tumpuan pelancong dan memasarkan produk IKS," jelas beliau.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saipolyazan M Yusop berkata, Sungai Besar mempunyai kelengkapan asas lengkap sebagai kawasan tumpuan pelancong sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan terutama dalam menarik kehadiran pengunjung.

Katanya, kawasan pesisir pantai iaitu di Pantai Redang, Sekinchan dan Pantai Batu 23 antara yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan bagi menarik kehadiran pelancong.

"Sekarang ini Sekinchan menunjukkan potensi sebenar dan mungkin kalau kita selaraskan dengan pembangunan di sekitar Sungai Besar ia akan meningkatkan secara keseluruhan sektor pelancong dan ia akan menambah permintaan terhadap keperluan inap desa dan IKS," kata beliau.