'Saya masih belum boleh tarik nafas lega' - Jamal

Jamal Md Yunos
Jamal Md Yunos
A
A
A

SUNGAI BESAR - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengakui belum menarik nafas lega walaupun dipilih sebagai calon BN selagi parti itu belum menang di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jamal berkata, pemilihannya sebagai calon bukanlah sesuatu yang diraikan dengan kegembiraan, sebaliknya BN perlu berusaha keras untuk mengembalikan semula 'kubu kuat' parti itu seperti sebelum PRU14 lalu.

"(Dipilih sebagai calon) Ini satu amanah yang bukan sahaja saya bersendirian memikulnya, tetapi semua ahli komponen BN dan jentera Parlimen Sungai Besar untuk memastikan kemenangan pada 19 November ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Jamal, pemilihan sebagai calon bagi kerusi itu juga menggambarkan kepercayaan parti kepada beliau yang telah sekian lama menjadi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

"Sepanjang memegang jawatan ini, saya telah memberi laluan dalam dua pilihan raya sebelum ini kepada rakan lain.

"Bagi saya, ini adalah satu amanah besar untuk saya korbankan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat jika terpilih pada PRU15," jelasnya.

Menurut Jamal, beberapa isu setempat diberi tumpuan utama bagi meningkatkan taraf sosio kehidupan rakyat di Parlimen Sungai Besar.

"Kawasan ini merupakan jelapang padi dan ia perlu dinaik taraf supaya hasil tanaman ini dapat ditingkatkan supaya kehidupan pesawah di sini bertambah baik.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap hasil pendapatan pesawah dapat meningkat sama seperti sebelum PRU14 lalu hingga rata-rata pesawah mampu memperoleh pengeluaran hasil melebihi 10 tan metrik," katanya.

Beliau memberitahu, faktor itu berlaku disebabkan keprihatinan kerajaan sewaktu pemerintahan BN dengan memperkenalkan beberapa inisiatif dan bantuan kepada pesawah.

Bagaimanapun katanya, pendapatan pesawah terus merudum semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang telah menarik semula beberapa inisiatif diperkenalkan kerajaan BN.

Kata beliau, perkara sama juga turut dihadapi nelayan kerana semasa pemerintahan BN, beberapa bantuan diberikan antaranya bot, enjin sangkut, pukat dan sebagainya.

"Perkara seperti ini yang perlu saya perjuangkan kerana ramai nelayan dan pesawah yang perlu dibela selain infrasturktur pendidikan juga ditingkatkan pada tahap lebih baik," ujar beliau.