Program IKMa perkasa sosioekonomi

Beri khidmat nasihat, latihan dan bimbingan untuk tingkatkan pendapatan

A
A
A

Latihan catatan perakaunan dalam Bengkel Simpan Kira untuk usahawan anggota Koperasi HTK.
Latihan catatan perakaunan dalam Bengkel Simpan Kira untuk usahawan anggota Koperasi HTK.

PROGRAM Million Ringgit Coop League atau lebih dikenali sebagai MiRiCLe yang dianjurkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) telah memberi tumpuan kepada koperasi kluster mikro, kecil dan sederhana menerusi khidmat nasihat, latihan dan bimbingan yang bersasar ke arah melonjakkan pendapatan dan kesejahteraan koperasi.

Koperasi Homestay Telok Ketapang Terengganu Berhad (Koperasi HTK) merupakan salah satu daripada 180 koperasi terpilih menyertai program bimbingan itu.

Koperasi HTK didaftarkan pada 4 Februari 2010 sebagai sebuah koperasi yang menjalankan aktiviti perkhidmatan terutama dalam bidang pelancongan di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh koperasi adalah inap desa (homestay), rumah tamu, river cruise, city tour, persembahan kesenian, warisan dan kebudayaan negeri Terengganu serta masakan tradisi Terengganu.

Penglibatan koperasi dalam MiRiCLe khususnya di bawah seliaan IKMa Zon Timur dimulakan dengan program Pemerkasaan Digital Koperasi melalui kerjasama dengan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta rakan teknologi IKMa.

Suntikan teknologi seperti platform laman web yang menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian (payment gateway) dibangunkan, serta bimbingan teknik mengambil gambar dan video secara profesional bagi membangunkan video pemasaran juga diaplikasikan.

Artikel Berkaitan:

Bengkel Pengurusan Rumah Tamu untuk anggota Koperasi HTK pengusaha inap desa.
Bengkel Pengurusan Rumah Tamu untuk anggota Koperasi HTK pengusaha inap desa.

Kaedah pemasaran dalam talian (online) melalui media sosial adalah paling berkesan dan menunjukkan penyertaan yang menggalakkan.

Hasilnya platform ini telah berjaya menarik trafik jualan koperasi sehingga mencecah 400 panggilan dan pesanan sehari yang perlu koperasi santuni terutama dalam musim percutian.

Penyediaan pelbagai bengkel

Selain itu, pembangunan kapasiti perniagaan koperasi turut diadakan melalui Bengkel Pengurusan Rumah Tamu dengan kerjasama Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan IKMa.

Seramai 30 orang anggota koperasi yang merupakan pengusaha homestay dan kampung stay telah menyertai bengkel ini.

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan anggota dalam mengurus rumah tamu dan pelanggan yang menginap di rumah tamu mereka.

Selain digitalisasi dan perniagaan, pembangunan kapasiti modal insan koperasi turut ditekankan. Justeru, Bengkel Kepimpinan Belia Koperasi diadakan bagi menggalakkan penglibatan golongan belia kampung dalam berkoperasi terutama sebagai pelapis barisan kepimpinan koperasi.

Bengkel Kepimpinan Belia Koperasi HTK untuk pemimpin pelapis koperasi.
Bengkel Kepimpinan Belia Koperasi HTK untuk pemimpin pelapis koperasi.

Seramai 25 orang belia telah menyertai bengkel ini dan sebahagiannya merupakan anggota Koperasi HTK yang dilantik dalam jawatankuasa projek khas koperasi.

Dalam memperkasa ilmu berkaitan perakaunan, Bengkel Simpan Kira juga telah diadakan untuk membantu anggota-anggota koperasi yang mempunyai perniagaan sendiri membuat catatan perakaunan dengan lebih tepat walaupun perniagaan yang dijalankan adalah secara kecil-kecilan.

Komponen ini dilihat sebagai komponen asas dan penting untuk masa depan perniagaan mereka. Anggota koperasi yang menyertai bengkel ini juga dibawa melawat beberapa buah perniagaan daripada industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Langkawi sebagai penanda aras serta suntikan semangat untuk mereka terus berusaha mengembangkan perniagaan mereka.

Walaupun koperasi ini hanyalah koperasi mikro, tetapi peranan dan sumbangannya sangatlah besar kepada komuniti setempat dan memberi manfaat peningkatan sosioekonomi anggota khususnya.

Barisan kepimpinan Koperasi HTK sangat komited, telus, berilmu dan berpengetahuan dalam mengurus dan mentadbir koperasi serta menjaga kebajikan anggotanya. Perkara ini boleh dilihat kebanyakan daripada aktiviti yang dilaksanakan, pastinya melibatkan anggota koperasi ini.