'Orang lain tak boleh kejar permainan Pas' - Idris

Idris ketika bercakap kepada pemberita pada Khamis.
Idris ketika bercakap kepada pemberita pada Khamis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pas membuktikan perjuangan parti itu lebih dinamik dengan memberi laluan kepada dua pemimpin BN, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, sejarah membuktikan bahawa parti itu juga pernah memberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali (ketika itu Presiden Persatuan Pribumi Perkasa) bertanding atas tiket Pas di Kelantan yang merupakan kubu kuat.

Menurutnya, tindakan seumpama itu bukan masalah besar kepada Pas kerana telah berpegang kuat kepada konsep siasah syariyyah dan qawaid fiqhiyyah dalam urus tadbir kepimpinannya.

"Inilah hebat dan dinamiknya Pas. Orang tak boleh kejar permainan Pas.

"Dulu pun kita pernah bagi Ibrahim Ali tanding, walaupun kita tahu dia itu (bagaimana), tetapi pada 2008 dia bertanding atas lambang Pas di Kelantan.

"Sebab apa, sebab kita ini berpegang kepada konsep siasah syariyyah, kita ada kaedah-kaedah qawaid fiqhiyyah dan kita buat itu dengan perkiraan-perkiraan yang dilakukan termasuk bagaimana kemaslahatan (kebaikan).

"Saya kira kalau ada lagi pemimpin lain (pemimpin BN tanding kerusi Pas) dan kepimpinan setuju, kita akan beri (laluan), tidak ada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Munajat Perdana dan Pelancaran Calon Pas di Parlimen Bagan Serai di Tapak Pasar Alor Pongsu di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Idris (tiga dari kiri) dan Razman (tengah) hadir ke Majlis Munajat Perdana dan Pelancaran Calon Pas di Parlimen Bagan Serai di Tapak Pasar Alor Pongsu pada Khamis.
Idris (tiga dari kiri) dan Razman (tengah) hadir ke Majlis Munajat Perdana dan Pelancaran Calon Pas di Parlimen Bagan Serai di Tapak Pasar Alor Pongsu pada Khamis.

Shahidan yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau di Perlis pada PRU15 ini atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas.

Pengumuman dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu turut menamakan Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempertahankan kerusi Parlimen Maran, Pahang juga mewakili Pas.

Shahidan dan Ismail telah digugurkan sebagai calon oleh BN pada pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Idris yang diumum sebagai calon PN di Parlimen Bagan Serai menggantikan penyandang, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menolak dakwaan bahawa dirinya melobi untuk diberikan kerusi pada PRU15 ini.

Katanya, soal bertanding atau tidak adalah keputusan yang dibuat pimpinan tertinggi dan sebagai ahli parti mereka hanya akur.

"Saya jadi menteri pun tak pernah saya lobi sebab kita tahu tanggungjawab itu berat. Saya punya sikap, bila dapat gaji dan elaun, saya akan bekerja, jika tidak rasa berdosa.

"Samalah keadaannya bila disuruh bertanding (PRU15), saya tanding, tak adalah pula saya nak pergi lobi pemimpin," katanya.

Pada PRU14 lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu bertanding di Parlimen Bukit Gantang, namun gagal mempertahankan kerusi tersebut yang disandang sejak pilihan raya 2013.