Dahulu mereka juga ambil alih daripada orang lama

Ada pemimpin yang memberontak dengan mengisytiharkan perang ke atas parti berikutan tidak disenaraikan semula sebagai calon pada pilihan raya umum ini. - Foto 123RF
Ada pemimpin yang memberontak dengan mengisytiharkan perang ke atas parti berikutan tidak disenaraikan semula sebagai calon pada pilihan raya umum ini. - Foto 123RF
A
A
A

DALAM beberapa hari ini, kita telah disajikan dengan insiden dan drama politik yang memuak serta memualkan iaitu keengganan barisan kepimpinan lama menyerahkan baton kepada generasi seterusnya apabila nama mereka tidak disenaraikan semula sebagai calon Pilihan Raya Umum.

Ada yang memberontak dengan mengisytiharkan perang ke atas parti yang selama berpenggal-penggal memberi ruang dan peluang kepada mereka berkhidmat.

Ada yang terus meletakkan jawatan serta merta dan ada yang mengumumkan tidak menerima senarai yang dicalonkan parti dan mahu melakukan apa yang mereka suka.

Ada yang mengarahkan agar bilik-bilik gerakan ditutup. Dan tidak kurang yang kemudiannya umum akan bertanding juga tetapi atas tiket parti lain.

Yang anehnya, mereka lupa, suatu ketika dahulu mereka juga adalah orang baharu yang diberi laluan oleh orang lama untuk muncul di pentas politik dan pilihan raya.

Hari ini selepas bertahun-tahun di atas mereka tidak mahu turun dan membuka laluan sepertimana bos mereka sebelum ini malah merasakan kerusi itu adalah milik mereka selama-lamanya. Betapa ironisnya situasi ini.

Ini membawa kembali kepada persoalan utama, dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini, secara idealnya berapa lamakah seseorang pemimpin politik itu harus berada di puncak dan bilakah masa yang sesuai untuk mereka memberi ruang dan peluang kepada pemimpin baharu untuk naik?

Hakikatnya ramai yang lupa bahawa kita sedang dalam proses melaksanakan demokrasi bukannya monarki. Sistem monarki hanya milik raja-raja.

Artikel Berkaitan:

Yang keduanya, apabila seseorang itu sudah terlalu lama di puncak kuasa, mereka terlupa kerusi yang diduduki itu adalah milik parti yang diwakilinya bukan milik peribadi.

Lainlah jika dia calon Bebas. Kalau dah nama pun calon Bebas, dia tak terikat dengan mana-mana pihak melainkan dirinya sendiri.

Apakah peranan otai-otai politik bersama generasi calon dan muka baharu dalam menghadapi satu lagi pusingan demokrasi dalam menentukan kepimpinan negara?

Semua persoalan ini kembali kepada diri kita dengan menanyakan beberapa soalan, sejauh mana dan berapa lama kita ingin berada di puncak kuasa dan kepimpinan.

Sekiranya mereka tidak memberi peluang kepada pemimpin muda dan generasi baharu, progres negara ini akan terbantut dan ketinggalan berbanding dengan negara-negara maju.

Di Eropah misalnya kebanyakan perdana menteri sudah diambil alih oleh generasi muda yang berusia pertengahan 30-an dan awal 40-an termasuklah di United Kingdom (UK) yang menerima perdana menteri paling muda dalam tempoh 200 tahun.

Perdana Menteri UK, Rishi Sunak misalnya berusia 42 tahun ; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Kate Laurell 42 tahun; Perdana Menteri Finland, Sanna Mirella Marin 39 tahun; Perdana Menteri Arab Saudi, Muhammad Salman 37 tahun dan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen 44 tahun.

Kepada otai-otai politik dan pemimpin lama, dunia tidak berakhir sekiranya mereka tidak lagi memegang jawatan mahupun menjadi calon pilihan raya.

Walaupun otai-otai politik mendabik dada mengatakan pengalaman itu penting, namun sekiranya pemimpin baharu dan muda tidak diberikan peluang secukupnya untuk menyerlah, sudah tentu pengalaman itu sendiri tidak akan muncul.

Sebaliknya, otai-otai politik harus memiliki jiwa yang besar dengan memainkan peranan sebagai mentor dan menyediakan lapisan kepimpinan baharu untuk menggantikan tempat mereka. Bukan enggan melepaskan jawatan walaupun sudah memimpin sehingga lebih lapan penggal.

Pemimpin lama harus berdiri seiring dengan pemimpin muda dalam memberi nasihat, tunjuk ajar dan peluang dalam keputusan penting berkaitan hala tuju negara. Hanya dengan itu negara ini bersedia maju selangkah ke hadapan dalam melakukan anjakan paradigma.

Di tangan para pengundilah masa depan negara ini bersandar.

*Roz Ariffin Rozaid adalah Penyunting Sinar Harian