UMNO Johor ambil alih pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru

Mohamed Khaled (tengah) ketika sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat pertama UMNO Johor bagi penggal 2023-2026 di Bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
Mohamed Khaled (tengah) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama UMNO Johor bagi penggal 2023-2026 di Bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor akan mengambil alih pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lalu.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Abdul Halim Suleiman diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan bahagian terbabit.

"UMNO Johor sememangnya mahu pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru ini dilakukan segera, tetapi kami mengambil pada masa kini merupakan bulan Ramadan.

"Pemilihan semula ini bukan seperti bahagian lain yang hanya melibatkan ketua bahagian sahaja. Tetapi UMNO Bahagian Johor Bahru ini melibatkan keseluruhan jawatankuasa bahagian.

"UMNO Johor tidak mahu pemilihan semula ini diadakan secara tergesa-gesa. Oleh itu, perbincangan rapi perlu dilakukan kerana kita tidak mahu hanya segelintir ahli yang datang pada pemilihan semula nanti," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama UMNO Johor bagi penggal 2023-2026 di Bangunan UMNO Johor di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pada 18 Mac lalu, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan bahawa kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Keputusan tersebut dibuat Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Bahagian Johor Bahru, Sonawan Mad Som.

Jawatan Ketua Bahagian itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.