Tidak timbul isu tentangan, boikot calon BN

Gambar dari kiri: Abdul Rahman, Shahril Sufian
Gambar dari kiri: Abdul Rahman, Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak timbul isu tentangan atau tindakan memboikot bakal-bakal calon 'payung terjun' kerana keputusan pencalonan telah mendapat sokongan daripada jentera dan akar umbi parti.

Calon BN Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan berkata, isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan bahkan beliau sendiri tidak merasa was-was dengan sokongan yang bakal diperolehi.

Ini kerana menurutnya, pencalonan beliau bagi kawasan berkenaan telah mendapat sokongan di peringkat UMNO Bahagian.

Saya rasa isu ini tidak timbul memandangkan pencalonan saya di Parlimen Alor Gajah dialu-alukan oleh akar umbi dan UMNO Bahagian.

"Mereka akan bersama-sama saya bersatu mengerakkan jentera parti bagi memenangi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan berdepan tentangan atau boikot daripada jentera dan akar umbi parti dengan alasan mahu calon tempatan dicalonkan.

Ditanya apakah pendekatan yang akan dilakukan bagi meraih sokongan undi, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, usaha itu akan dilakukan dalam tempoh kempen kelak.

Beliau juga bakal melancarkan manifesto untuk kawasan Alor Gajah.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, perkara ini akan diumumkan selepas BN pusat melancarkan manifesto umum. Selain itu, tunggu dan saksikan apa yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh kempen," ujarnya.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga bakal calon BN Parlimen Kota Belud PRU15 juga senada, dan yakin tidak timbul isu penolakan beliau sebagai calon meskipun bukan anak tempatan.

Jelas beliau, UMNO Bahagian Kota Belud sendiri telah mencalonkan nama beliau sekali gus memberi isyarat tidak ada penolakan.

"Saya juga pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal. Solidariti pemimpin-pemimpin di sini mantap dan semua mahukan kemenangan BN," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan antara perkara yang akan diberi tumpuan bagi kawasan yang bakal ditandingi ialah pembangunan dan pekerjaan anak-anak tempatan.

"Antara perkara yang akan diberi perhatian di kawasan tersebut adalah memantapkan industri pertanian, pelancongan, mulakan industri minyak dan gas serta mewujudkan institusi pengajian tinggi sekali gus akan memberi peluang pekerjaan kepada mereka," katanya.