Rakan kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton didakwa lagi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang rakan kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton Malaysia yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan pecah amanah, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM115 juta, tiga tahun lalu.

Datuk CR Narendrakumar, 72, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai penerima dan pengurus yang dilantik dari Syarikat Grant Thornton Consulting Sdn Bhd, mewakili sebuah syarikat lain telah memindahkan wang berjumlah RM115 juta melalui 12 transaksi secara dalam talian.

Ia dipindahkan daripada akaun semasa CIMB Bank Berhad milik sebuah syarikat itu ke akaun simpanan tetap CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat sama yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Bank Berhad, cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 5 Februari 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, AG Kalidas yang mewakili Narendrakumar merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar lebih rendah kerana tiada risiko untuk melarikan diri selain mengalami masalah kesihatan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM350,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 5 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 14 September lalu, Narendrakumar didakwa atas lapan pertuduhan iaitu sebagai ejen penerima dan pengurus di sebuah syarikat telah melakukan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2,383,370.31 milik sebuah syarikat lain dalam akaun CIMB, yang telah diamanahkan kepadanya.