Rafizi isytihar harta lebih RM18 juta

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya pada Rabu.

Menurut beliau, pengisytiharan itu sejajar dengan sebahagian daripada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PKR sebagai calon bertanding di bawah tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan lampiran itu, kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Solutions Sdn Bhd, syarikat yang diasaskannya.

Jumlah itu termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

Jumlah keseluruhan pelaburannya ialah sebanyak RM16.74 juta.

Beliau turut mengisytiharkan pendapatan bulanan sebanyak RM23,500.

Pecahan perbelanjaan bulanan juga diperincikan, termasuk ansuran rumah dan kereta, bil-bil utiliti, persekolahan anak, makan minum dan pemberian kepada isteri dan ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Semua butiran itu dinyatakan dalam akuan berkanun (SD) yang salinannya dikongsi bersama media sebentar tadi.

Selain itu, aset lain diisytihar termasuk tunai dan simpanan berjumlah RM1.17 juta, dua hartanah di Bukit Antarabangsa, Selangor berjumlah RM1.6 juta, kereta Peugeot 3008 dan Honda Accord berjumlah RM110,00.

Dalam pada itu, Rafizi menambah tidak pernah memegang jawatan awam lain selain menjadi ahli Parlimen dalam penggal 2013 hingga 2018.

"Sepanjang masa saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen (penggal 2013 – 2018), saya tidak pernah menyalahgunakan kuasa saya untuk memperkayakan diri saya, isteri saya, anak saya atau mana-mana ahli keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, akuan berkanun (SD) calon PKR lain akan dipaparkan di laman https://calonkeadilan.org/ esok.