Tok Pa umum tidak bertanding PRU15

Mustapa
Mustapa
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa mengesahkan bahawa beliau tidak berhasrat mempertahankan kerusi yang disandangnya di Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau berkata, pendirian berkenaan telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan ini dibuat antaranya setelah mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan saya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan.

“Sehubungan ini, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya merencanakan agenda pembangunan sosioekonomi di Parlimen Jeli sejak tahun 1995.

“Sesungguhnya, saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini untuk mewakili rakyat di Parlimen Jeli,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu turut melahirkan penghargaan kepada semua anggota kabinet atas bimbingan dan kerjasama diberikan sepanjang beliau berada dalam barisan Jemaah Menteri.

“Terima kasih kepada kepimpinan kerajaan, penjawat awam persekutuan dan negeri serta parti atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan ahli Parlimen,” ujarnya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau PN bakal menampilkan Setiausaha Politik Tok Pa iaitu Zahari Kechik sebagai calon bagi Parlimen Jeli.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 September 2018, Tok Pa mengumumkan beliau keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu dan memilih menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi pada bulan Oktober tahun yang sama.