Penganjuran konsert di Kedah perlu dapat kelulusan: Exco

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memutuskan sebarang penganjuran konsert di negeri ini perlu mendapat kebenaran dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, tatacara permohonan lesen hiburan adalah tertakluk di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kedah 1997.

Beliau berkata, Kedah telah menetapkan bahawa penganjuran konsert yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila adalah tidak dibenarkan di seluruh negeri.

“Namun, ia melibatkan penganjuran konsert yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila sahaja dan kita tidak menyentuh berkaitan penganjuran konsert oleh mana-mana kaum atau yang bukan beragama Islam.

“Sebarang penganjuran konsert terbabit juga perlu mendapat kebenaran dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.

Mohd Hayati berkata sedemikian ketika ucapan pergulungan ketika memperincikan prosedur operasi standard (SOP) larangan konsert di Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Ketika mengulas implikasi pelaksanaan larangan konsert terhadap pendapatan anak-anak muda atau peniaga yang berniaga berhampiran konsert, Mohd Hayati berkata, implikasi terhadap larangan konsert tidak melibatkan larangan ekspo jualan makanan atau barangan di kawasan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

“Antara lain, peniaga masih ada ruang lain untuk berniaga seperti expo dan lain-lain sekiranya konsert tidak dibenarkan bagi Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan bagi Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), ia dibawah tindakan pejabat daerah,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, setakat ini, sebarang penganjuran aktiviti konsert yang dianjurkan di Daerah Kubang Pasu sehingga tempoh kini yang memberi sebarang impak kepada penduduk serta peniaga-peniaga di sekitar Daerah Kubang Pasu.

“Kelulusan sebarang aktiviti hiburan dipertimbangkan melalui mesyuarat jawatankuasa pelesenan hiburan daerah oleh Pejabat Daerah dengan merujuk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kedah 1997,” katanya.

Mohd Hayati, tiada implikasi kepada penduduk di kawasan terlibat memandangkan tiada penganjuran konsert pernah diadakan di kawasan Majlis Daerah Pendang (MDP), manakala permohonan dan kelulusan bagi lesen hiburan adalah dibawah bidang kuasa Pejabat Daerah di Majlis Daerah Yan (MDY).

“Majlis Daerah Sik (MDS) pula tidak mempunyai kuasa untuk memproses dan meluluskan sebarang permit hiburan kerana penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kedah 1997 di bawah Pejabat Daerah Sik. Sehubungan itu, MDS tidak mempunyai SOP khas berkaitan perkara tersebut,” katanya.

Menurut Mohd Hayati, tiada implikasi khusus kepada peniaga yang berniaga berhampiran konsert di kawasan Padang Terap bagi Majlis Daerah Padang Terap (MDPT).

“Bagaimanapun, peniaga adalah tertakluk untuk mendapatkan kelulusan lesen perniagaan terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan di sekitar daerah ini,” katanya.