BN Kota Tinggi sambut Khaled Nordin sebagai calon

Muszaidi (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi pada Rabu.
Muszaidi (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi pada Rabu.
A
A
A

KOTA TINGGI - BN Kota Tinggi menerima baik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai calon bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Kota Tinggi, Muszaidi Makmor berkata, akar umbi parti itu menyatakan sokongan dan akan mempertahankan Parlimen Kota Tinggi sebagai kubu BN dan UMNO.

Jelasnya, dalam masa sama, barisan kepimpinan BN Kota Tinggi terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC menghargai Datuk Halimah Mohamed Sadique yang telah menjalankan tugas dengan baik sebagai Ahli Parlimen sebelum ini.

Kepimpinan akar umbi tidak menolak calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti demi menjaga kepentingan parti. Kami dari dulu sedar parti bukan hak peribadi.

“Perhimpunan kami hari ini mahu menyatakan bahawa kami dan rakan-rakan komponen berjiwa besar menyambut Datuk Seri Mohamed Khaled sebagai calon PRU15.

"Dalam pada itu, kami ingin menyampaikan mengucapkan penghargaan kepada Datuk Halimah Mohamed Sadique yang telah menjalankan tugas dengan baik," katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi, di sini pada Rabu.

Muszaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, pihaknya yakin dapat memenangkan Mohamed Khaled dengan majoriti yang lebih kerana beliau merupakan calon yang berpengalaman dan berwibawa.

Katanya, kekalahan Naib Presiden UMNO itu di kerusi Parlimen Pasir Gudang pada PRU14 kerana berlakunya tsunami politik dan siapa pun calon yang diletakkan di sana pada ketika itu pasti akan kalah.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi di Kota Tinggi yang memenangkan calon adalah jentera-jentera kita, kalau calon bergerak sendirian pun belum tentu menang, dengan adanya kekuatan UMNO, BN, MCA, MIC kita menang bergaya di Kota Tinggi.

“Orang Kota Tinggi tahu pemimpin mana perlu dipilih saya yakin tidak perlu risau sebelum ini mereka (UMNO cawangan) setia dengan parti tidak ada kata hendak tutup pusat daerah mengundi (PDM).

“Saya yakin dengan ketua PDM dan ketua cawangan mereka matang berpolitik, kalau mereka tidak setia masa PRU14 sudah keluar parti namun 95 peratus kekal di cawangan,” katanya.