BN buat kejutan lagi...

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sah mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Ahmad Zahid membuat pengumuman untuk bertanding ketika Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur malam Selasa.

Seperti yang dijangka Ahmad Zahid turut mengumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat menggantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Parlimen Rembau.

Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut disahkan kekal mempertahankan Parlimen Bera.

Suasana dewan bertukar meriah apabila Ahmad Zahid mengumumkan nama Ismail Sabri kekal bertanding di Bera di hadapan ratusan penyokong yang hadir.

Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim menjadi taruhan BN bagi merebut kerusi Parlimen Larut.

Difahamkan, pemilihan tokoh agama itu berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan dikatakan sesuai untuk diletakkan sebagai 'underdog' di kawasan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Khabarnya, pemilihan Ustaz Kazim dibincangkan dalam pertemuan 'top 5' dua hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Larut dimenangi Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menang atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.

Selepas itu, beliau keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 2019.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa sah digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15 bagi Parlimen Ketereh.

Kerusi itu akan diisi oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh.

Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas, Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Selain itu, penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; penyandang Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Sadique; penyandang Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan penyandang Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak dicalonkan semula.

PN tanding 169 kerusi dalam PRU15

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di 74 kerusi, Pas (64), Gerakan (20) dan kumpulan bersekutu 11 kerusi.

Bagi kerusi DUN di Pahang, Perak dan Perlis, Pas akan bertanding 57 kerusi, Bersatu (41), Gerakan (14) dan kumpulan bersekutu 4 kerusi.

Selaku nakhoda PN, Muhyiddin mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang menjadi tradisi Parlimennya sejak tahun 1978.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut diumumkan secara rasmi bertanding di Gombak, manakala Timbalan Presiden Parti Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan bertanding di Parlimen Tambun.

Muhyiddin turut mengumumkan bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai calon merebut kerusi di Parlimen Tasek Gelugor.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dipilih menjadi calon bagi Parlimen Putrajaya.

Beliau beralih kerusi dari Parlimen Ketereh yang sebelum ini dimenangi oleh Tan Sri Annuar Musa dengan majoriti 4,626.

Penyenaraian tersebut dibuat menerusi satu sidang media khas pengumuman calon PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa ahli politik lagi.