DPP asas kerajaan tentukan tindakan terhadap pelarian - KDN

Pemegang kad UNHCR tidak secara automatik diperakui sebagai pelarian oleh kerajaan, sebaliknya individu yang melepasi proses penentuan status dan tapisan keselamatan di bawah DPP sahaja akan diperakui. Gambar hiasan
Pemegang kad UNHCR tidak secara automatik diperakui sebagai pelarian oleh kerajaan, sebaliknya individu yang melepasi proses penentuan status dan tapisan keselamatan di bawah DPP sahaja akan diperakui. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pendaftaran dan penentuan status pelarian menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menjadi asas untuk kerajaan menentukan tindakan bersesuaian termasuk penghantaran pulang apabila keadaan mengizinkan atau penempatan semula ke negara ketiga.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan mekanisme itu juga membolehkan kerajaan mengurus keberadaan sementara pelarian dan mempertimbangkan akses kepada kemudahan yang dibenarkan berdasarkan status serta maklumat daripada proses pendaftaran.

KDN memaklumkan DPP dilaksanakan secara berfasa sejak 1 Januari 2026 bermula dengan individu di depot tahanan imigresen sebelum diperluas kepada individu dalam komuniti termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka yang mendakwa diri sebagai pelarian atau pemohon suaka.

"Proses ini melibatkan pendaftaran maklumat peribadi, pengambilan data biometrik, semakan latar belakang, tapisan keselamatan dan penentuan status pelarian oleh kerajaan.

"Pemegang kad UNHCR tidak secara automatik diperakui sebagai pelarian oleh kerajaan hanya berdasarkan pemilikan kad itu, sebaliknya individu yang melepasi proses penentuan status dan tapisan keselamatan di bawah DPP sahaja akan diperakui,” menurut KDN dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

KDN menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan pemegang kad UNHCR di Malaysia dapat dikenal pasti, dipantau dan diurus secara berkesan selaras dengan undang-undang negara.

KDN memaklumkan maklumat menerusi program itu akan menjadi pangkalan data rasmi kerajaan bagi mengenal pasti identiti, status dan keberadaan golongan tersebut selain membolehkan pemantauan serta penyelarasan tindakan agensi berkaitan berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan.

Kementerian itu juga menegaskan pelaksanaan DPP tidak memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.

Ia sebaliknya bertujuan memastikan pengenalpastian, pemantauan dan pengurusan pelarian serta pemohon suaka berada di bawah kawalan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam jawapan berasingan, KDN memaklumkan pemegang Kad DPP akan diberikan akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam ekonomi gelap (shadow economy) atau dieksploitasi sindiket.

Kebenaran bekerja itu juga sebagai pengganti pada kemasukan pekerja asing baharu dari luar negara, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara terhadap pekerja asing.

"Kemahiran dan pengalaman bekerja yang dimiliki pemegang DPP akan membuka peluang lebih baik untuk mendapat penempatan ke negara ketiga melalui laluan pelengkap (complementary pathway)," menurut kementerian itu menerusi jawapan kepada soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah). 

Selain itu, KDN memaklumkan pemegang Kad DPP tidak dibenarkan merentas negeri tanpa kebenaran khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai sebahagian daripada kawalan terhadap keberadaan pelarian di negara ini.

"Pergerakan pemegang Kad DPP dikawal mengikut zon geografi dan dilarang merentas negeri tanpa kebenaran khas JIM. Kad DPP wajib diperbaharui setiap tahun," menurut kenyataan itu. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!