NGO lapor polis terhadap Peguam Negara

Manisegaran (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Selasa.
Manisegaran (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Humanitarian Welfare Foundation membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang didakwa melindungi bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, M Manisegaran mendakwa, Idrus cuba melindungi Mohd Nazlan dengan melengah-lengahkan pendakwaan terhadapnya.

Sedangkan katanya, pada 23 April lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sendiri telah mengesahkan wujud siasatan terhadap Mohd Nazlan seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

"Perkara ini sangat mengecewakan dan akan menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem keadilan di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Selasa.

Manisegaran juga menggesa polis menyiasat kesahihan kertas dokumen yang tular dalam sebuah portal kerana tiada penafian atau pengesahan oleh SPRM.

“Pada 29 September lalu, sebuah portal melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan siasatan terhadap Mohd Nazlan dilengkapkan pada Mei, namun dipulangkan semula pada awal September.

"Bagaimanapun, SPRM sudah melengkapkan semula kertas siasatan berkenaan dan menghantarkannya semula ke Pejabat Peguam Negara pada 29 September lalu,” katanya

Menurutnya, jika kertas siasatan yang tular itu benar, Mohd Nazlan telah membuat kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan kerana gagal mengisytiharkan kepentingan dan peranan beliau dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysian Development Bhd.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menggesa PDRM melakukan siasatan segera terhadap dakwaan-dakwaan itu kerana timbul persoalan dalam masyarakat berkaitan isu tersebut.

Pada 23 April lalu, Azam mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Ia susulan satu artikel pada 20 April yang diterbitkan sebuah blog mendakwa Mohd Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Artikel itu mendakwa wang itu masuk semasa Mohd Nazlan menjadi peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank.

Mohd Nazlan telah membuat laporan polis terhadap blog berkenaan serta menafikan tuduhan yang didakwa berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan mencemarkan kredibilitinya sebagai hakim.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dilaporkan berkata, laporan polis sudah dibuat bagi siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta peruntukan lain yang berkaitan.