Tart keju logo parti politik laris

Marlia menunjukkan hasil dekorasi kuih tart keju di kedai kek miliknya dekat Taman Wira Perdana pada Selasa. - Foto Bernama
Marlia menunjukkan hasil dekorasi kuih tart keju di kedai kek miliknya dekat Taman Wira Perdana pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Bahang kemeriahan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kian terasa apabila rata-rata penggemar kuih tart keju mula merubah selera mereka dengan memilih dekorasi logo parti-parti politik di negara ini sebagai desert atau pencuci mulut.

Pengusaha kuih berkenaan, Marlia Ismail, 36, berkata, lebih 1,000 tempahan kuih tart keju menggunakan lambang parti politik diterimanya sejak sebulan lepas sehingga mampu meraih jualan lebih RM350 sehari.

"Saya mula membuat kuih tart keju ini sejak enam tahun lepas dan tidak sangka sambutan tahun ini sangat meriah apabila ramai pelanggan mahu kuih ini dihiasi dengan logo parti politik tanah air.

"Saya turut menggunakan media sosial seperti Facebook (Marlia Ismail), Instagram (Onechulicious Trading) dan TikTok (cikleya3315) untuk memasarkan kuih ini," katanya ketika ditemui pemberita di kedai kek miliknya dekat Taman Wira Perdana, di sini pada Selasa.

Marlia berkata, harga bagi 25 biji kuih tart keju bersaiz kecil ialah RM35 sekotak manakala saiz besar pula sebanyak RM75 sekotak, namun harga itu bergantung kepada jenis corak dan dekorasi yang diminta.

Kuih tart keju dekorasi pelbagai bendera parti politik yang menjadi pilihan pelanggan. - Foto Bernama
Kuih tart keju dekorasi pelbagai bendera parti politik yang menjadi pilihan pelanggan. - Foto Bernama

"Pelanggan saya bebas untuk memilih jenis dekorasi dan saya akan cuba membuatnya mengikut kehendak mereka kerana masa yang diambil untuk siapkan tempahan ini kira-kira satu jam berdasarkan corak yang dipilih.

"Saya masih lagi menerima tempahan kuih tart keju menggunakan logo parti politik ini hingga 18 November depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelanggan Siti Fatimah Zaharah, 37, berkata, dia meminati kuih tart keju yang dibuat oleh Marlia kerana kreativiti dekorasi yang dihasilkannya juga menepati kemahuan dan cita rasanya.

"Saya ialah pelanggan setia Marlia sejak enam tahun lepas hingga kini kerana rasa kuih dan kek yang dibuatnya sangat sedap dan harganya pula murah serta berpatutan,” katanya. - Bernama