Petisyen pilihan raya Gua Musang dibicarakan, Putrajaya ditolak

Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan BN untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan BN untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Isnin memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan Barisan Nasional (BN) untuk mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membenarkan rayuan Mohd Azmi Mahmood, wakil bagi calon Barisan Nasional, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan petisyen pilihan raya tersebut.

Abdul Rahman mengarahkan petisyen itu dibicarakan penuh di hadapan hakim lain dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Kota Bahru.

Dalam keputusan sebulat suara mahkamah, Abdul Rahman berkata, hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan bahawa petisyen itu difailkan di luar masa.

Beliau juga berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pempetisyen (Mohd Azmi) telah memenuhi keperluan di bawah peraturan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dua lagi hakim ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Mohd Azmi memfailkan petisyen itu, dalam usaha untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenangi calon Pas-Bersatu, Datuk Mohd Azizi Abu Naim, yang menewaskan Tengku Razaleigh dengan 1,826 undi.

PRU15 diadakan pada 19 November tahun lepas.

Sementara itu, panel Mahkamah Persekutuan yang sama hari ini menolak rayuan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mengembalikan semula petisyen pilihan raya, yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Putrajaya, ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putrajaya.

Abdul Rahman berkata, tiada merit dalam rayuan Ahmad Faisal kerana perkara yang dirayu oleh pempetisyen dalam petisyen itu tidak mempunyai butiran terperinci.

Beliau mengarahkan Ahmad Faisal membayar kos guaman sebanyak RM30,000.

Ahmad Faisal memfailkan petisyen pilihan raya itu untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Putrajaya yang dimenangi Mohd Radzi.

Mohd Radzi menewaskan penyandang empat penggal kerusi Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada BN dengan majoriti 2,310 undi dalam pertembungan enam penjuru.

Dua Mahkamah Tinggi, masing-masing telah membatalkan kedua-dua petisyen pilihan raya itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Mohd Radzi dan Mohd Azizi.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Mohd Radzi untuk membatalkan petisyen itu selepas memutuskan Ahmad Faisal gagal membuktikan amalan rasuah dilakukan oleh Radzi atau ejennya.

Sementara itu, pada 26 Februai lepas, Mahkamah Tinggi Kota Bahru menolak petisyen Mohd Azmi selepas memutuskan petisyen itu difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Peguam, Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun mewakili Mohd Azmi dan Ahmad Faisal manakala peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Mohd Azizi dan Mohd Radzi. - Bernama