Tiada peningkatan ketara penagihan ganja: AADK

Gambar fail ganja yang dirampas polis.
Gambar fail ganja yang dirampas polis.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Penggunaan ganja dalam kalangan penagih di negara ini tidak mencatatkan peningkatan ketara setakat ini, meskipun negara jiran Thailand telah membenarkan penggunaan bahan itu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, pihaknya serta agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sering menjalankan pemantauan di sempadan negara bagi memastikan rakyat Malaysia tidak memiliki atau mengambil dadah selepas melancong ke Thailand.

"Setakat ini, tiada peningkatan begitu tinggi sebab Thailand benarkan ganja dan penggunaan awam belum ada peningkatan di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Dadah ke-43 di sini pada Selasa yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata, pada masa ini penggunaan dadah jenis sintetik lebih tinggi berbanding ganja di negara ini.

Jun lepas, Thailand menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan menerusi ucaptamanya berkata, dalam tempoh lima tahun belakangan ini, hampir 20,000 tan dadah terlarang dirampas di negara anggota ASEAN dengan anggaran rampasan lebih 3,800 tan setahun.

Beliau berkata, kanabis adalah dadah terlarang yang paling banyak dirampas di negara anggota ASEAN, diikuti bahan psikoaktif baharu (NPS) dan stimulan jenis amfetamin (ATS).

Wan Ahmad Dahlan berkata, lebih 2.3 juta pengguna dadah di rantau ini menerima rawatan termasuk 63.6 peratus pengguna baharu bagi lima tahun belakangan ini.

Katanya, menurut laporan pemantauan dadah ASEAN, bagi tahun lepas sahaja sebanyak 585,695 pengguna dadah di negara-negara ASEAN menerima rawatan, iaitu peningkatan 8.3 peratus berbanding pada 2020.
Artikel Berkaitan:


"Meskipun pandemik Covid-19, akses pengguna dadah kepada rawatan dalam ASEAN telah meningkat 36.1 peratus sejak 2019,” katanya. - Bernama