Lata Arus Sungai Sedim berisiko banjir puing

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Lata Arus Deras Sungai Sedim, Kulim antara lokasi dikenal pasti berisiko berlaku banjir puing seperti mana Gunung Jerai, Yan dan Kampung Iboi, Baling.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia memandangkan Lata Arus Sedim melalui kawasan kampung penduduk.

“Tolok hujan yang terdapat di kawasan ini berada di bawah bukit dan bukannya di tanah tinggi menyebabkan bacaan hujan yang tepat sukar dianggarkan sama ada ia berisiko berlakunya banjir atau tidak.

"Ada lagi kawasan berisiko iaitu Lata Bukit Hijau, Baling tetapi ia tidak terlalu hampir dengan kawasan penduduk," katanya menjawab soalan tambahan Phahrolrazi Mohd Zawawi (Alor Mengkudu-Bebas) mengenai lokasi lain yang berpotensi berlaku banjir puing pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Muhammad Sanusi menjelaskan, kebanyakan tanah di Lata Bukit Hijau berada agak ke dalam kawasan Jabatan Perhutanan Negeri berbanding Lata Arus Deras Sungai Sedim.

"Jadi, perlu diberi perhatian Lata Arus Sungai Sedim," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Bencana Daerah dan Negeri telah menguruskan bantuan Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABN) kepada 1,012 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam bencana banjir di Gunung Jerai, Yan dan Kampung Iboi, Baling.

Beliau menyatakan, bantuan kepada setiap KIR yang terlibat telah selesai diserahkan pada 1 September lepas.

Artikel Berkaitan:

"Selain bantuan tersebut, kerajaan negeri juga meluluskan bayaran sewaan bulanan kepada 17 KIR yang kediamannya hanyut, musnah atau hilang akibat bencana tersebut.

"Bantuan sebanyak RM3,000 bagi setiap KIR merangkumi bayaran sewaan rumah berjumlah RM400 dan RM100 sebulan utiliti bagi tempoh enam bulan bermula Julai 2022," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga meluluskan pembinaan semula 12 buah rumah kepada mangsa yang rumahnya hilang atau hanyut dan musnah akibat bencana tersebut di Keda Kampung Sadek, Kupang melibatkan kos keseluruhan RM1.2 juta.

"Rentetan daripada kejadian banjir puing tersebut, kawasan di Kampung Iboi kerap dilanda banjir. Oleh demikian, kawasan penempatan penduduk yang sebelum ini berada dalam kawasan selamat telah berubah dan berada dalam kawasan zon musnah dan bahaya.

"Jadi, Pentadbiran Daerah Baling telah mengarahkan Penghulu Mukim Kupang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kampung yang terlibat untuk mengenal pasti penduduk yang berada dia dua zon tersebut untuk dilakukan pemindahan segera," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menyatakan, pelbagai kerja pemulihan dan pencegahan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di kawasan kejadian tanah runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai dan Kampung lboi seperti pembangunan, pemasangan dan pelaksanaan Sistem Amaran Awal (EWS) Bencana Geologi Tanah Runtuh dan Aliran Puing di kawasan peranginan Titi Hayun, Gunung Jerai.

"Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga sedang melaksanakan Projek Mitigasi Segera di Taman Eko Rimba (TER) Bukit Hijau, Baling, Kedah merangkumi pemasangan Sistem Amaran Awal (tolok hujan manual) dan kajian geofizik di Sekolah Kebangsaan lboi, Baling bagi mengenal pasti potensi sumber air bawah tanah," katanya.