Tiada 'perang terbuka' terhadap TMJ: Syed Saddiq

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau mengisytiharkan ‘perang terbuka’ terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mengulas kenyataan Dewan Muda Johor hari ini mengenai balasan ciapan Twitter Syed Saddiq yang disifatkan tidak sopan kepada ciapan Twitter putera Johor itu, beliau berkata rakyat secara amnya berhak membalas (kritikan) dan pada masa sama perlu mengikut ras undang-undang sedia ada.

"Apabila kita kritik, kita perlu hormati hak mereka yang mengkritik, pada masa sama, pengkritik tersebut juga tidak bebas daripada kritikan balas. Itu sahaja, ia merupakan lumrah sebuah negara demokrasi.

"Tiada pengisytiharan perang terbuka. Cuma ia merupakan kenyataan tegas daripada kerajaan bahawa kita perlu mempertahankan hak mereka yang mengkritik, rakyat khususnya ada hak untuk membalas, dan Perlembagaan Persekutuan tetap merupakan sumber rujukan utama kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi ‘Meet&Greet’ peserta Program MyFuture Youth Plus di bangunan Parlimen, hari ini.

Kenyataan Dewan Muda Johor itu antara lain menyebut kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu (di Twitter) adalah biadab, seolah-olah mengisytiharkan perang dan bagai menggalakkan rakyat mengecam dan mengkritik Tunku Ismail secara terbuka. Isu ini dipercayai bermula daripada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengenai Tunku Ismail, yang katanya berhak untuk bercakap atau memberi kritikan terhadap kerajaan, namun tindakan akan diambil sekiranya beliau (TMJ) membuat kenyataan yang berunsur hasutan.

Tunku Ismail yang dilihat mengulang kicau (retweet) laporan berita sebuah portal itu pula berkata beliau juga merupakan rakyat yang berhak bertanya soalan dan memberikan pendapatnya.

Syed Saddiq dalam balasan ciapan Twitternya kepada Tunku Ismail berkata: "Kita menghormati hak Tunku untuk mengkritik, Patik berharap Tunku pun menghormati hak rakyat untuk membalas kritikan tersebut. Tidak perlu memperlekeh, mengugut atau mencaci”.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor semalam dan dakwaan terdapat beberapa calon yang disebut untuk menyandang jawatan itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu secara ringkas berkata beliau menyerahkan keputusan (pemilihan calon) itu kepada Dr Mahathir. -Bernama

Artikel Berkaitan: