PH yakin dapat tawan Kuala Pilah

Nor Azman
Nor Azman
A
A
A

KUALA PILAH - Pakatan Harapan (PH) yakin dapat menawan semula kerusi Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon PH daripada PKR bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Nor Azman Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan keputusan pada PRU14 lalu apabila rakyat daerah ini memberi mandat kepada PH sebelum Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada gabungan itu.

Bagaimanapun beliau akui, ia adalah satu cabaran untuknya mengembalikan kerusi tersebut kepada PH seperti mana PRU14.

"Kerusi Parlimen Kuala Pilah ini asalnya diberi kepercayaan oleh rakyat untuk PH membawa suara mereka ke Parlimen pada PRU14.

"Dan diberi kemenangan kepada calon PH pada masa itu, cuma selepas Langkah Sheraton, Bersatu ini keluar PH.

"Jadi satu yang agak mencabar untuk meyakinkan rakyat bahawa calon PH yang ditawarkan kali ini akan terus kekal membawa suara rakyat melalui PH.

"Bagaimanapun saya yakin, insya-ALLAH ia akan jadi milik PH," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nor Azman sebelum ini disebut-sebut sebagai calon PH yang bakal bertanding di Parlimen Kuala Pilah dan teka-teki itu berakhir apabila beliau diumumkan sebagai calon kerusi berkenaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan turut menjelaskan sudah meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, kira-kira sebulan lalu.

Pada PRU14, PH memenangi lima daripada lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan iaitu Port Dickson (PKR), Seremban (DAP), Rasah (DAP), Tampin (Amanah) dan Kuala Pilah (Bersatu).