Johari Abdul Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu

Johari (dua dari kanan) dipilih sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu.
Johari (dua dari kanan) dipilih sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Kedah sebulat suara memilih ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu.

Keputusan itu dibuat ketika sesi rehat Persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin selepas Parti Amanah Negara (Amanah) memecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi kerana didakwa telah melanggar perlembagaan parti pada Ahad.

Johari berkata, pelantikan beliau mendapat sokongan kesemua 10 ADUN PH Kedah selepas mereka mengadakan satu mesyuarat.

"Alhamdulillah, semua rakan dalam PH sebulat suara memberi peluang kepada saya sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah menggantikan Datuk Phahrolrazi.

"Insya-ALLAH, saya akan buat yang terbaik untuk memastikan perjalanan dewan seperti yang diharapkan, iaitu konstruktif. Kita akan jadi pembangkang yang konstruktif dan terbaik untuk negeri kita," katanya pada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Johari turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan diberikan Phahrolrazi sepanjang mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah sebelum ini.

"Beliau memberi pandangan dan idea yang bernas, yang beliau suarakan dalam dewan. Jadi, kita akan menyambung hasrat beliau memastikan peranan kita yang sepatutnya dimainkan (akan) diteruskan," katanya.

Johari juga mengesahkan kedudukannya dijangka bertukar tempat dalam DUN Kedah pada Selasa nanti selari dengan pemilihan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah didekati Speaker DUN Kedah, dan Speaker minta kita (ADUN PH) buat keputusan dan (kita) akan maklumkan kepada Speaker (tentang) posisi dan kedudukan," katanya.

Menurut Johari, surat mengenai pemilihan beliau akan diserahkan ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong kepada DUN Kedah nanti.

Untuk rekod, Phahrolrazi dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah pada 2020.

Pelantikan ADUN Alor Mengkudu itu sebelum ini mendapat sokongan kesemua ADUN PH Kedah.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dipecat kerana didapati telah melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, Phahrolrazi mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.