Kerajaan perkenal CGPP, tingkatkan syarikat guna tenaga hijau

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A
PUTRAJAYA - Kerajaan memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) bagi membolehkan syarikat-syarikat korporat di negara ini menggunakan tenaga elektrik hijau melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, melalui CGPP, program itu akan mengguna pakai mekanisme Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA) dengan jumlah kuota sebanyak 600MW.

"Program ini bagi membolehkan syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di Malaysia mencapai komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).



"Ini juga berupaya untuk mengekalkan syarikat-syarikat sedia ada serta menarik syarikat-syarikat antarabangsa yang lain untuk melabur di Malaysia," katanya ketika mengumumkan mengenai program itu di sini pada Isnin.

Sebelum ini, syarikat-syarikat di Malaysia boleh memenuhi komitmen penggunaan elektrik hijau melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Self Consumption (SelCo).

Di samping itu, syarikat juga boleh membeli sijil Tenaga Boleh Baharu (TBB) atau membuat langganan Tarif Elektrik Hijau (GET).

Takiyuddin berkata, di bawah program CGPP, syarikat korporat yang layak boleh memeterai Perjanjian Tenaga Hijau Korporat (PTHK) dengan penjana tenaga solar bagi penjualan dan pembelian Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara maya dengan terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

PTHK ialah suatu ikatan perjanjian perlindungan harga kewangan dwihala yang memperincikan struktur penetapan harga yang dipersetujui antara pihak syarikat korporat dengan penjana tenaga solar berdasarkan nilai atau faedah kewangan tersedia melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) diperoleh daripada penjanaan tenaga solar.

"Pemeteraian ikatan kontrak perlindungan harga kewangan antara syarikat korporat dengan penjana tenaga solar akan membolehkan pihak penjana menyertai pasaran elektrik yang dikendalikan oleh Single Buyer melalui mekanisme New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA)," katanya.

Beliau berkata, melalui perjanjian ini, ia akan mengurangkan risiko yang ditanggung oleh penjana tenaga solar ekoran turun naik harga pasaran elektrik; dan membolehkan syarikat-syarikat korporat mendapat bekalan tenaga elektrik hijau secara maya dengan harga tetap untuk satu tempoh yang lama.
Artikel Berkaitan:


Takiyuddin berkata, syarikat akan turut memperoleh Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) daripada penjana tenaga solar untuk meningkatkan komitmen ESGnya.

Beliau berkata, permohonan penyertaan program CGPP akan dibuka mulai 7 November ini hingga 31 Disember 2023 atau sehingga kesemua kuota yang disediakan selesai diagihkan.

Bagi memastikan supaya proses penilaian permohonan dilakukan secara telus dan teratur, Takiyuddin berkata, satu Jawatankuasa Penilaian Khas yang terdiri daripada wakil kementerian, Suruhanjaya Tenaga dan Jabatan Single Buyer akan diwujudkan.

"Kesemua penjana tenaga solar yang diluluskan pelaksanaan di bawah program ini hendaklah disiapkan dan mula beroperasi selewat-lewatnya pada 2025," katanya. - Bernama