Individu ceroboh Bukit Enggang dikompaun RM630,000

Muhammad Sanusi ketika sidang DUN Kedah pada Isnin.
Muhammad Sanusi ketika sidang DUN Kedah pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri mendapat semula hasil sebanyak RM630,000 daripada kerugian yang ditanggung akibat kegiatan perlombongan haram unsur nadir bumi atau rare eath element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil berkenaan diperolehi daripada dua kompaun iaitu RM500,000 dan RM130,000 terhadap seorang lelaki bagi kesalahan dilakukan terbabit.

Beliau berkata, Kedah menerusi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kedah telah mengeluarkan kompaun maksimum RM500,000 kepada pihak terbabit kerana melakukan kegiatan perlombongan haram di kawasan itu.

"Kompaun berjumlah RM500,000 dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Timbalan Pendakwaraya (TPR) di bawah Seksyen 429B Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828).

"Malah, kompaun terbabit sudah dijelaskan pada 11 Oktober lepas," katanya ketika menjawab soalan lisan Johari Abdul (Gurun-PKR) mengenai kecurian unsur nadir bumi di Bukit Enggang, Sik ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Muhammad Sanusi menjelaskan, Kedah mendapat nasihat agar kesalahan ini dikenakan kompaun berbanding dibawa ke mahkamah kerana kompaun maksimum yang dikenakan akan diterima kerajaan negeri atas kerugian yang ditanggung.

Beliau memberitahu, hasil denda dikenakan akan diterima kerajaan Persekutuan sekiranya kes terbabit dibawa ke mahkamah.

"Jadi, kerajaan negeri dengan pertimbangan ini mendapat sedikit kelegaan apabila mendapat hasil daripada kerugian yang ditanggung sebanyak RM630,000 iaitu termasuk RM130,000 kompaun yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) kerana kesalahan menceroboh hutan," katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, bahan berkenaan dianggarkan bernilai sekitar RM391,360.91 mengikut nilai pasaran pada 30 September 2022 dengan anggaran RM35,257.74/metrik tan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, bagaimanapun, bahan berkenaan telah disita dan akan dilupuskan setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memberitahu, kegiatan perlombongan haram ini disedari pada 26 September 2022 apabila lori yang membawa muatan REE ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sik.

Kata beliau, ujian makmal 'Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICPMS)' yang dibuat oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Negeri Kedah telah mendapati sludge cake (REE Karbonat) yang dirampas mengandungi Unsur Nadir Bumi (REE).

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi memberi jaminan JPNK telah mengambil tindakan dengan menghentikan aktiviti pengambilan REE secara haram di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang dan memusnahkan peralatan yang digunakan untuk perlombongan REE.

Beliau menegaskan, PTG dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sik akan meningkatkan pemantauan secara berkala di kawasan ini bagi mengelakkan perkara ini tidak berulang.

"PTG akan mendapatkan pandangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kesan aktiviti perlombongan ini kepada masyarakat sekitar," katanya.