Polis berkas 22 individu terlibat kes judi

Seramai 22 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian, di Johor Bahru pada Sabtu. - Foto polis Johor
Seramai 22 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian, di Johor Bahru pada Sabtu. - Foto polis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor memberkas 22 individu melibatkan 13 lelaki selain lima wanita warga tempatan dan empat wanita warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM62,530, selain tiga keping resit perniagaan, 48 keping daun terup dan tiga biji dadu pada serbuan berkenaan.

"Pada 29 Oktober sekitar 11.10 malam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru.

"Dalam serbuan berkenaan, polis berjaya menangkap 22 individu (13 lelaki dan lima wanita) warga tempatan termasuk empat wanita warga asing berusia 30 hingga 60 tahun.

"Malah, hasil siasatan mendapati premis (pusat hiburan) berkenaan telah dijadikan sebagai pusat perjudian dan menyasarkan pelanggan warga tempatan," katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

Untuk rekod, serbuan yang dilakukan terhadap premis berkenaan adalah bawah Op Dadu Khas yang dijalankan ke atas premis-premis terlibat di seluruh negeri ini.

Setakat ini di bawah Op Dadu ini, sebanyak 1,926 premis telah diserbu dan diperiksa dan seramai 2,515 individu berusia 19 hingga 68 tahun telah ditangkap.

Selain itu, bagi rampasan barang kes perjudian pula, sebanyak 1,005 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tablet (13), mesin PHK (44), komputer riba (empat) dan wamg tunai berjumlah RM679,931.00 turut dirampas.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tangkapan disiasat bawah peruntukan undang-undang melibatkan Seksyen 6(1) Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga boleh disiasat bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, mereka juga boleh didakwa bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu Kamarul Zaman berkata, polis memberikan amaran bahawa mana-mana pihak agar tidak menjadikan negeri ini sebagai tempat aktiviti perjudian.

Katanya, mereka yang didapati terlibat pastinya tidak akan terlepas daripada ditangkap dan dikenakan tindakan berlandaskan undang-undang sedia ada.

"Kejayaan operasi ini sebahagian besarnya adalah hasil daripada risikan yang dijalankan oleh polis Johor dan sebahagiannya adalah daripada aduan dan maklumat orang ramai.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian ini kepada balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677," katanya.