Melakar perpaduan dengan kepelbagaian menu makanan Malaysia

Pengiktirafan Citarasa Menu Keluarga Malaysia oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di Kafe Pak Inchik, Muar, Johor.
Pengiktirafan Citarasa Menu Keluarga Malaysia oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di Kafe Pak Inchik, Muar, Johor.
A
A
A

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan keturunan serta kepelbagaian jenis makanan, merupakan satu keunikan yang jarang ditemui di negara-negara lain di dunia.

Selain makanan asli yang berasal dari setiap negeri di Malaysia, pertembungan budaya dalam bentuk kulinari ini turut memperlihatkan keupayaan kita menghasilkan menu makanan gabungan (fusion) bagi menepati cita rasa anak tempatan.

Dalam konteks pengambilan makanan atau juadah, rata-rata rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau keturunan merupakan peminat makanan (foodie) yang berani mencuba sesuatu yang luar daripada kebiasaan mereka.

Di negara kita, adalah normal untuk melihat sesuatu bangsa menikmati atau menghasilkan makanan yang datangnya daripada bangsa lain. Sebagai contoh, golongan berbangsa Cina memasak nasi lemak yang asalnya dari budaya Melayu, orang Melayu memasak Thosai dan Capati, ataupun orang India menghasilkan kuih bulan.

Ini menunjukkan deria rasa kita telah diasimilasikan oleh persekitaran sekeliling yang mempelbagaikan cita rasa kita untuk menerima menu yang bukan sahaja daripada bangsa asal kita, tetapi makanan yang dihasilkan oleh tetangga pelbagai bangsa.

Halimah mencuba hidangan tradisi di program Semarak UNITI Keluarga Malaysia, Sabah.
Halimah mencuba hidangan tradisi di program Semarak UNITI Keluarga Malaysia, Sabah.

Berbeza dengan negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Timur Tengah ataupun di sesetengah negara-negara Eropah, sehingga beberapa dekad lepas menu makanan mereka lebih tertumpu kepada persekitaran budaya mereka sahaja, sedangkan rakyat Malaysia sudah pun mempunyai selera antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan di Amerika Syarikat makanan daripada budaya Jawa, China, India, Inggeris, Belanda, Portugis dan Thai dianggap sebagai menu makanan yang luar biasa (avant garde) sedangkan masyarakat kita sejak sebelum merdeka lagi telah merasai dan membesar dengan keenakan juadah-juadah antarabangsa ini.

Jika kita meneliti dari sudut kepelbagaian budaya, setiap bangsa dan keturunan di dunia ini mempunyai cara tersendiri dalam hal-hal seperti pakaian, bahasa/loghat, dan juga penyediaan makanan yang melambangkan identiti kaum tertentu serta dipengaruhi oleh budaya persekitaran mereka.

Makanan memainkan peranan yang amat penting, bukan sahaja ia menjadi sumber tenaga untuk kelangsungan hidup manusia, tetapi juga mempunyai sejarah dan nostalgianya tersendiri dalam merencana ketamadunan sesuatu bangsa.

Sejarah makanan Malaysia

Kepelbagaian jenis makanan di negara kita seawal wujudnya Empayar Melaka, yang dipengaruhi oleh negara-negara seperti Kepulauan Ryukyu (Jepun), China, Jawa, India dan juga Siam (Thailand). Dengan kehadiran para pedagang dari negara-negara berkenaan telah membuka lembaran baharu dalam sejarah kulinari negara ini.

Kenikmatan laksa Sarawak yang sangat terkenal dengan keistimewaan ramuan rempahnya dan menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Kenikmatan laksa Sarawak yang sangat terkenal dengan keistimewaan ramuan rempahnya dan menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Setelah ratusan tahun berlalu, penghijrahan dan imigrasi oleh bangsa-bangsa lain dari seluruh dunia yang membawa masuk pelbagai jenis menu makanan ke negara ini, menjadikan cita rasa rakyat Malaysia sebagai simbol kepelbagaian yang diraikan oleh kita semua.

Ditambah lagi dengan kemajuan teknologi, aktiviti ekonomi yang semakin pesat, pembangunan sistem pengangkutan dan komunikasi moden, membolehkan kita meluaskan pilihan makanan melangkaui budaya kita sendiri.

Makanan Malaysia pada ketika ini bertindak sebagai satu wadah komunikasi yang menjadi pemangkin kepada penyebaran budaya dan berupaya menyatukan kita semua dalam keadaan aman damai dan harmoni.

Kepelbagaian Citarasa Menu Keluarga Malaysia yang dipamerkan pada program berkenaan.
Kepelbagaian Citarasa Menu Keluarga Malaysia yang dipamerkan pada program berkenaan.

Chef Selebriti terkenal Anthony Bourdain mengatakan, Malaysia adalah ‘land of fusion’ yang menyaksikan gabungan masakan dan budaya yang bercampur aduk selama berdekad-dekad.

Baru-baru ini, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan turut mempromosi keunikan sajian Melayu di peringkat antarabangsa dengan memperkenalkan empat set hidangan bagi menu masakan cita rasa tempatan kepada penumpang Qatar Airways sempena ulang tahun ke-25 syarikat penerbangan itu pada Julai lalu.

"Ia juga memberi saya peluang untuk mencipta dan mempromosikan kepelbagaian masakan Malaysia di platform global,” kata Chef Wan.

Melihat senario ini, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah melaksanakan inisiatif Citarasa Menu Keluarga Malaysia yang merupakan tapak integrasi baharu yang akan diketengahkan sebagai salah satu platform untuk mengukuhkan jalinan interaksi sosial ‘inter’ dan ‘intra’ etnik di Malaysia untuk menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan Keluarga Malaysia melalui makanan seterusnya menyemarakkan semangat muhibah Keluarga Malaysia melalui platform yang santai ataupun informal.

Inisiatif Citarasa Menu Keluarga Malaysia ini juga adalah sebahagian daripada program teras Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang disasarkan untuk menjadi tapak integrasi bagi menyemarak dan memperbanyakkan detik-detik perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang meraikan kepelbagaian.

Kuih tradisi yang sangat popular semasa Festival Kuih Bulan.
Kuih tradisi yang sangat popular semasa Festival Kuih Bulan.

Menjadi harapan kita semua agar program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah iltizam Keluarga Malaysia mendapat sokongan, sambutan dan dorongan pelbagai pihak. Ia diyakini mampu memberikan impak yang amat besar kepada perpaduan rakyat secara keseluruhannya.

Sekalipun kita berbeza pendapat, kita harus sentiasa menetapkan tekad untuk mengekalkan perpaduan. Peranan untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat tidak hanya terletak di bahu kerajaan, sebaliknya tugas kita semua memelihara keamanan dan kedamaian yang telah dikecapi selama ini.

Marilah kita bersama-sama mencari titik tumpuan sama ada dengan makanan atau elemen budaya lain yang boleh kita kongsikan, sekali gus menjayakan iltizam Keluarga Malaysia yang dapat menghapuskan sifat prejudis serta sangsi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan bangsa ini.