Kerajaan cadang tambahan peruntukan RM100 juta untuk industri pertanian dan perikanan

A
A
A

Tengku Zafrul melawat gerai dan pameran salah satu produk industri kecil dan sederhana (IKS) pada Program Santai bersama Nelayan dan Penduduk Kuala Selangor di Jeti Nelayan Sungai Sembilang pada Jumaat.
Tengku Zafrul melawat gerai dan pameran salah satu produk industri kecil dan sederhana (IKS) pada Program Santai bersama Nelayan dan Penduduk Kuala Selangor di Jeti Nelayan Sungai Sembilang pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Kerajaan bercadang menaikkan peruntukan sebanyak RM100 juta subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan negara pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cadangan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion itu melebihi peruntukan berjumlah RM1.7 bilion pada tahun ini.

Menurut beliau, kerajaan juga bercadang menaikkan subsidi dan insentif hasil tangkapan nelayan daripada RM151.2 juta tahun ini kepada RM178.2 juta pada tahun depan.

"Peruntukan bakal disediakan bagi projek peningkatan produktiviti nelayan B40 sebanyak RM3 juta di setiap negeri bagi bantuan

kemudahan dan peralatan perikanan kepada nelayan pantai," katanya pada sidang akhbar selepas Program Santai bersama Nelayan dan Penduduk Kuala Selangor di Jeti Nelayan Sungai Sembilang di sini pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata, manfaat disediakan kerajaan itu secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan nelayan laut dan darat, sementara pendapatan mereka boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan juga meneruskan bantuan kewangan kepada setiap nelayan darat dan laut masing-masing mendapat RM3,000 dan RM3,600 setahun.

"Ini bermakna setiap nelayan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM250 sebulan bagi nelayan darat dan RM300 sebulan kepada nelayan laut," ujar beliau.

Jelasnya, kerajaan prihatin dengan setiap kelompok masyarakat terutama bagi golongan memerlukan di negara ini, dan menyifatkan bantuan kepada golongan terbabit sudah tentu dapat menambah baik taraf kehidupan selain menjana ekonomi negara.

Sektor pelancongan

Tengku Zafrul turut menyampaikan sumbangan kepada nelayan.
Tengku Zafrul turut menyampaikan sumbangan kepada nelayan.



Selain itu katanya, bagi pengusaha inap desa berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula, kerajaan menyediakan sebanyak RM30 juta bagi geran pembaikan.

"Malah, kerajaan pada tahun depan mencadangkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi penganjuran program pelancongan, seni dan budaya serta membaik pulih hotel bajet dan inap desa berdaftar," ujar beliau.

Katanya, mengambil contoh di Kuala Selangor pada masa ini, golongan nelayan muda di daerah itu telah mula berubah dengan menceburi sektor pelancongan.

"Biasanya aktiviti nelayan di sini lebih kepada menjaring ikan dan udang, namun sejak kebelakangan ini, nelayan muda sudah mula membawa pelancong memancing selain ke tempat menarik seperti di Sky Mirror dan Eagle Feeding," katanya.

Malah katanya, komuniti nelayan juga telah menubuhkan myKP enterprise bagi menjalankan projek set net, kupang, sotong kurita dan juga ikan kering.

Projek itu dijalankan secara berkelompok dan menjana pendapatan tambahan sekitar RM500 sebulan selain menjadi ikon Jabatan Perikanan kerana kejayaan perlaksanaannya.

“Pada masa ini terdapat seramai 533 nelayan di Parlimen Kuala Selangor. Apa yang menarik, sebilangan penduduk di sini telah menceburi bidang industri pelancongan dengan mewujudkan inap desa,” ujarnya.

Menurut beliau, difahamkan terdapat 12 inap desa di sini yang berdaftar di bawah MOTAC, malah KoperasiInap Desa Sungai Sembilang Bhd telah ditubuhkan bagi menyelaras aktiviti inap desa bergiat dalam industri hiliran pelancongan, seperti membuat bahan kraf tangan berasaskan kelapa dan juga tekstil.

"Saya puji inisiatif yang dijalankan kerana ia sudah tentu dapat mempelbagaikan pendapatan nelayan dan penduduk sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM10,000 diperuntukkan masing-masing di setiap tujuh jeti nelayan bagi kerja-kerja baik pulih.

“Sebelum ini saya ada menerima beberapa permohonan daripada nelayan dan penduduk sekitar. Tujuh pegawai turun padang di tujuh jeti nelayan bersama wakil Jabatan Perikanan Kuala Selangor bagi mendapatkan maklumat mengenai isu berkaitan jeti.

"Memang ada keperluan untuk jeti-jeti ini diselenggarakan dan dinaik taraf serta memerlukan kajian dan kelulusan daripada agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan," katanya.

Reaksi nelayan

HUSSIN
HUSSIN



"Keperluan baik pulih Jeti Sungai Sembilang amat dinantikan nelayan sebab keadaannya uzur. Ini memudahkan kami menambat bot dengan lebih selamat." - Hussin Mohd Ali, 56.

"Bumbung kayu di sini sudah reput dan bocor akibat serangan monyet liar, masalah ini pun sudah lama dan memerlukan perhatian kerajaan." - Muhammad Shafiq Tukimin, 31.

HAROL HOSHMAN
HAROL HOSHMAN



"Syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang meneruskan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan. Ini membuktikan kerajaan prihatin masalah kami." - Harol Roshman Mohd Nor, 55.

Reaksi penduduk

HAMISAH
HAMISAH



"Program turun padang bersama rakyat ini diadakan secara santai dan kami dapat banyak maklumat berkaitan insentif disediakan kerajaan." - Hamisah Hussin, 52.

"Saya harap program seperti ini dapat diperluaskan di semua peringkat masyarakat untuk mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat." - Muhammad Faiz Mohd Sharuddin, 32.

EFFA EZZRIN
EFFA EZZRIN



"Saya salah seorang terlibat dalam aktiviti inap desa menyambut baik usaha kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif untuk bantu usahawan dalam industri ini." - Effa Ezzrin Wahab, 41.