'Kehadiran GTA telah dirasai' - Ahmad Idham

Ahmad Idham
Ahmad Idham
A
A
A

PORT DICKSON - Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan tidak kisah sesetengah pihak yang memperlekehkan penyertaannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri berkata, beliau melihat perkara itu dari sudut positif dan membuktikan masyarakat sudah mula merasai akan kehadiran GTA.

"Biasalah, bila benda baharu akan ada pelbagai persepsi. Bagi saya, selagi belum tiba hari pengundian, ruang untuk masyarakat memahami apa GTA itu masih ada.

"Sebab itu saya melihat ia dari sudut positif. Bila ada yang perlekehkan kehadiran GTA, bagi saya mereka sebenarnya sedang ambil tahu tentang GTA," katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Teluk Kemang di sini pada Sabtu.

Ahmad Idham berkata, beliau percaya akan berlaku gelombang besar dalam masyarakat disebabkan kehadiran GTA yang merupakan satu gerakan rakyat yang disertai kumpulan-kumpulan profesional, seni, akademik malah agamawan dan individu-individu berpengaruh.

Berbezanya GTA dengan parti politik lain, kata Ahmad Idham, kerana gerakan ini juga datangnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sememangnya mempunyai pengikut dan matlamat perjuangan yang telah digerakkan sekian lama.

"Cuma mungkin mereka tak nampak pergerakan dan kekuatan GTA ini macam mana kerana kita masih baharu," katanya.

Ditanya pandangan aktivis, Abdul Rani Kulup Abdullah yang bakal bertanding atas tiket Barisan Penyatuan Nasional (BPN) di Parlimen Port Dickson, beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapa saja tiada masalah untuk bertanding.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, hak Abdul Rani untuk menjadi calon, tetapi hak pengundi Port Dickson yang akan menentukan siapa ahli Parlimen mereka.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Ahmad Idham dinamakan GTA Negeri Sembilan sebagai calon Parlimen Port Dickson.

Beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyifatkan ia sebagai satu penghargaan, namun mahu masyarakat tahu yang keputusan itu masih belum dimuktamadkan.